KOTA BHARU 28 Jun – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas, Datuk Md. Alwi Che Ahmad dilantik sebagai Ketua Pembangkang bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang baharu.
Md. Alwi, 62, yang merupakan bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) menggantikan bekas ADUN Paloh, Datuk Nozula Mat Diah.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Md. Alwi dipilih selepas mengambil kira ketokohannya, latar belakang pendidikan serta memiliki pengalaman luas dalam bidang politik.
Katanya, UMNO Kelantan yakin Md. Alwi mampu menggalas tugas diberi sebaik mungkin bagi memimpin wakil rakyat pembangkang dalam memberi teguran konstruktif kepada kerajaan negeri dari semasa ke semasa.
“Beliau individu paling layak kerana pengalamannya cukup luas sehingga ke peringkat pusat, selain merupakan wakil rakyat senior dalam DUN.
“Md. Alwi juga berjaya mempertahankan kerusi DUN Kok Lanas dengan keputusan cemerlang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas istiadat mengangkat sumpah ADUN Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











