JAKARTA 28 Jun – Sebagai seorang negarawan yang disegani, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan menerima penghormatan tertinggi sempena lawatan rasmi Perdana Menteri ke negara Indonesia yang bermula hari ini.
Dr. Mahathir yang diiringi isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali akan disambut sendiri oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi dan isteri, Iriana Widodo sebaik tiba di Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma petang ini.
Menurut Timbalan Duta Malaysia ke Indonesia, Zamhari Shaharan, lawatan Dr. Mahathir ke negara ini ditunggu-tunggu memandangkan Perdana Menteri merupakan pemimpin paling kanan yang telah memainkan peranan penting di rantau ini.
“Lawatan ini amat ditunggu-tunggu oleh pihak Indonesia kerana status Perdana Menteri sebagai sebagai pemimpin paling kanan dalam kalangan pemimpin-pemimpin Asean,” kata Zamhari dalam sidang akhbar bersama wartawan Malaysia.
Sempena lawatan ke negara pertama di Asia Tenggara selepas memegang jawatan Perdana Menteri kali kedua pada 10 Mei lalu, Dr. Mahathir akan mengadakan pertemuan dengan Jokowi di Istana Presiden di Bogor, Jawa Barat pagi esok.
Menjadi kelaziman Jokowi menerima kehadiran ketua-ketua kerajaan asing di Istana Presiden di Bogor, Jawa Barat iaitu kira-kira 60 kilometer jaraknya dari Jakarta selama beliau menjadi Presiden Indonesia.
Semasa di Istana Presiden di Bogor juga, Dr. Mahathir akan diberi penghormatan untuk bersama-sama dengan Jokowi menanam pokok Angsana.
Pemilihan pokok Angsana yang dicadangkan oleh pentadbiran Jokowi, kata Zamhari, membawa maksud yang sangat signifikan terhadap keakraban hubungan Malaysia dan Indonesia.
“Simbolik pemilihan pokok Angsana untuk ditanam oleh Perdana Menteri dan Presiden Joko Widodo ialah pokok tersebut sangat kuat, lama dan boleh bertahan lama yang sekali gus melambangkan asas yang kuat terhadap hubungan bilateral Malaysia dan Indonesia,” jelas Zamhari lagi.
Lawatan rasmi Perdana Menteri juga, kata Zamhari, seiring dengan sambutan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Malaysia dan Indonesia yang disambut tahun lalu.
“Lawatan ini sudah tentu akan tingkatkan hubungan bilateral dengan Indonesia sebagai rakan strategik,” ujar beliau lagi.
Sebagai negara jiran yang paling rapat, Indonesia merupakan rakan dagangan paling utama bagi bagi Malaysia dengan jumlah perdagangan dua hala yang direkodkan tahun lalu berjumlah RM72.63 billion (USD16.89).
Jumlah berkenaan menyaksikan pertumbuhan sebanyak 22 peratus berbanding tahun 2016, dan menjadikannya sebagai rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di peringkat global dan yang ketiga terbesar di kalangan negara-negara anggota ASEAN selepas Singapura dan Thailand. – UTUSAN ONLINE











