KUALA LUMPUR 28 Jun – Bagai bulan jatuh ke riba, satu tiket penerbangan kelas pertama untuk menunaikan ibadah umrah menjadi milik seorang lelaki yang bakal menimang cahaya mata sulong, Mohd. Khairul Ramli, 30, selepas diumumkan sebagai pemenang Pertandingan Pantun Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia).
Beliau yang bekerja sebagai eksekutif khidmat pelanggan di sebuah syarikat swasta berkata, kejayaan itu merupakan rezeki anak sulungnya yang dijangka bakal dilahirkan pada Januari tahun hadapan.
Mohd. Khairul yang berasal dari Tanjong Karang, Selangor menambah, ketika ingin memohon cuti untuk hadir ke majlis pengumuman pertandingan itu, beliau hampir sahaja membuat keputusan tidak hadir kerana dinasihatkan oleh majikannya yang khuatir ia merupakan sindiket penipuan.
“Saya dihubungi oleh pihak Andalusia pada Isnin lalu. Memang susah untuk percaya sebab saya tidak pernah memenangi sebarang pertandingan sebelum ini.
“Majikan pula ada menasihatkan agar berhati-hati kerana risau ia merupakan sindiket Scam. Tetapi Alhamdulilah saya yakin dengan nama Andalusia dan hadir juga ke sini dan diumumkan sebagai johan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di majlis pengumuman pertandingan berkenaan di Akademi Malaysia Airlines Berhad (MAB) Kelana Jaya, dekat sini hari ini.
Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md. Daud Che’ Ngah dan Ketua Operasi Chater MAB, Yazid Muhamed. – UTUSAN ONLINE











