PUTRAJAYA 28 Jun – Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) setakat ini tidak mendedahkan penglibatan Australia dalam skandal berkenaan.
![]() |
|
MOHD. SHUKRI ABDULL
|
Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull ketika kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Australia, Andrew Goledzinowski di ibu pejabat SPRM, di sini semalam.
SPRM dan Suruhanjaya Tinggi Australia dalam satu kenyataan bersama hari ini memberitahu, pihak Australia memberi jaminan akan memberi kerjasama sekiranya siasatan mendapati penglibatan negara itu dalam kes 1MDB.
“Goledzinowski telah mengalu-alukan kerjasama dua hala bersama SPRM dalam perbincangan yang diadakan semalam itu.
“SPRM mengalu-alukan cadangan Australia untuk berkongsi pengalaman serta amalan dalam membaik pulih agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam rasuah dan salah guna kuasa,” kata kenyataan berkenaan.
Pada pertemuan itu, Goledzinowski turut diiringi timbalannya, Micheal Growder; Kaunselor Politik, Nicole Campion; Polis Persekutuan Australia, Sally Macdonald; Penolong Setiausaha Jabatan Hal Ehwal Luar dan Perdagangan (DFAT) Australia, Jeremy Bruer dan Setiausaha Politik 1, Jane Bartlett.
Sementara itu selain Mohd. Shukri, SPRM turut diwakili Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamsun Baharin Mohd. Jamil serta Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan, Datuk Nor Azmi Karim. – UTUSAN ONLINE












