Sentimen Malaysia Baharu tidak boleh ubah perkara asas - Utusan Malaysia

Sentimen Malaysia Baharu tidak boleh ubah perkara asas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 Jun – Kontroversi kenyataan akhbar dalam bahasa Mandarin oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada ming­gu lalu terus mendapat perhatian rakyat pelbagai latar belakang termasuk ahli akademik dan penggiat seni yang memberikan pendapat mereka dalam media sosial.

Memuatkan artikel berkaitan…

Walaupun telah mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menjelaskan perkara tersebut, perbuatan Setiausaha Agung DAP itu yang seolah-olah mencabar kedudukan istimewa bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, malah melabel mereka yang mempertahankan bahasa Melayu sebagai rasis dianggap keterlaluan.

Pensyarah Fakulti Sains Kemanusiaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nizamuddin Alias berkata, sentimen Malaysia Baharu yang merujuk kepada perubahan kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu tidak boleh digunakan untuk mengubah semua perkara yang telah ditetapkan sebagai asas kepada pembentukan negara ini.

“Perkara 152 (1)(a) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyebutkan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan digunakan untuk ‘maksud rasmi’. Klausa 6 Perkara 152 pula menjelaskan bahawa ‘Dalam Perkara ini, maksud rasmi ertinya apa-apa maksud kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri, dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam. Seksyen 2 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 pula memperuntukkan bahawa ‘bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi’. Mahkamah Persekutuan juga menegaskan hal sama dalam kes Merdeka University Bhd v. Government of Malaysia [1982] 2 MLJ 243.

“Dari sudut realpolitic, tindakan ini tidak berapa bijak. Jangan kerana Malaysia Baharu maka hendak diubah segala perkara. Mungkin sebahagian orang di luar sana melihat ini adalah cubaan untuk meletakkan pelbagai bahasa yang ada di negara ini sebagai sama taraf,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook, hari ini.

Seorang lagi pensyarah dari fakulti sama, Dr. Sahul Hamid Mohamed Maiddin berkata, penentangan terhadap tindakan Guan Eng itu bukanlah dibuat atas dasar perkauman, sebaliknya atas ke­sedaran sebagai rakyat Malaysia.

Menurut beliau, tindakan mem­pertahankan bahasa Melayu bukanlah baharu muncul sekarang, sebaliknya telah lama berkumandang termasuklah ketika UMNO dan Barisan Nasional (BN) memerintah.

“Kami lawan Guan Eng bukan kerana beliau berbangsa Cina, kami lawan hanya kerana mahu memartabatkan bahasa yang menjadi identiti bangsa ini, bangsa Malaysia. Bahasa yang dijunjung dalam Perlembagaan (Persekutuan). Bahasa rantau ini, nusantara,” katanya.

Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Dr. Moha­mad Saleeh Rahamad berpanda­ngan, kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa tindakan Guan Eng tersebut hanya kesilapan kecil bertenta­ngan dengan komitmennya untuk mengekalkan prinsip kedaulatan undang-undang dan boleh menyebabkan menteri-menteri lain tu­rut meminggirkan bahasa Me­layu.

“Perkembangan ini dikhuatiri akan meranapkan bahasa Melayu secara perlahan-lahan, maka tinggallah Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan sebagai catatan kosmetik dalam sebuah kedaulatan negara,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN