KUALA LUMPUR 27 Jun – Tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang mengeluarkan kenyataan rasmi kerajaan dalam bahasa Mandarin baru-baru ini mengundang situasi tegang dengan banyak pihak menyelar tindakan tersebut.
Berikutan perkara itu, seorang rakyat berketurunan Cina, Chua Wee Cheak turut menulis surat terbuka kepada Guan Eng yang disiarkan dalam laman blog www.thethirdforce.net bagi memberi respon. Berikut merupakan kenyataan penuh individu tersebut:
Ke hadapan YB Lim Guan Eng,
Saya adalah generasi 80-an. Bagaimana saya bangga dengan etnik saya sebagai seorang berbangsa Cina begitu juga saya berbangga menjadi seorang rakyat Malaysia. YB, saya merayu kepada anda untuk memahami beberapa perkara tentang penggunaan bahasa Mandarin dalam kenyataan media anda. Ini bukanlah merupakan pendapat saya seorang, tetapi pandangan ini turut disuarakan dalam kalangan rakan saya. Kami telah melalui cara yang sukar untuk menguasai bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dengan baik berdasarkan sistem pendidikan yang diperkenalkan semasa Tun Dr. Mahathir Mohamad memegang jawatan sebagai Menteri Pelajaran dan kami berbangga dengan hakikat bahawa kami dapat menggunakannya bersama-sama dengan bahasa ibunda masing-masing tanpa banyak kesulitan dalam negara berbilang etnik yang indah ini.
Bagi saya, tiada keperluan untuk YB memberikan kenyataan media dalam bahasa Mandarin. Betul, apa gunanya? Ya, untuk mengelakkan salah faham dan fakta salah ditulis. Tetapi jika itu alasannya, apa peranan penterjemah di organisasi media? Mereka ada di situ dengan tujuan tertentu, berikan mereka peluang untuk membuat kerja mereka. Biarkan media melaporkan berita mereka dengan cara yang payah dan jujur, walaupun dalam bahasa yang berbeza daripada apa yang mereka gunakan untuk laporan mereka. Selain itu, tidak perlu membuat perkara yang terlalu mudah untuk belia Cina yang lulus dari sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) yang semakin meningkat. Ia adalah sesuatu yang tidak sihat kerana mereka tinggal dalam kepompong mereka sendiri. Adalah lebih baik untuk menanamkan sifat kerja keras untuk mencapai sesuatu yang benar-benar akan melayakkan mereka sebagai ‘rakyat Malaysia’ yang sebenar.
Kita bukan di Singapura, di mana terdapat empat bahasa rasmi. Jika anda ingin mengeluarkan kenyataan media dalam bahasa Mandarin bersama bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, sila bersikap adil kepada media lain yang menggunakan bahasa Tamil, Kadazan dan Iban. Jika anda berbuat demikian untuk menggalakkan pembelajaran bahasa ketiga, anda boleh mencadangkan kepada Dr. Mahathir dan Dr. Maszlee Malik untuk mewujudkan mata pelajaran wajib bahasa ketiga di sekolah (bahasa ibunda dalam kebanyakan kes) dan letak syarat untuk mereka lulus semua tiga bahasa dalam peperiksaan kebangsaan untuk mendapatkan sijil?
Chua Wee Cheak











