SETIAP kali menyertai pelbagai program di seluruh pelosok tanah air saya tidak akan melepaskan peluang melihat pelbagai kemudahan yang disediakan kerajaan serta yang dibina pihak swasta.
Saya percaya ramai rakyat Malaysia turut merasai pengalaman yang saya lalui iaitu kekecewaan apabila melihat pelbagai kemudahan ini tidak diselenggara dengan baik.
Kelemahan dalam aspek penyelenggaraan ini menjadi salah satu daripada kebimbangan orang ramai dan kita perlu membangunkan budaya penyelenggaraan yang baik demi kepentingan orang ramai dan kemudahan mereka.
Malaysia sudah pasti berbangga dengan keupayaannya menyediakan infrastruktur bertaraf negara maju namun malangnya kita akan tertunduk malu kerana gagal menyelenggara kemudahan tersebut dengan baik.
Kita harus ingat, penyelenggaraan bangunan dan kemudahan awam yang lemah sebenarnya boleh menyebabkan berlakunya kemalangan dan kecederaan.
Tandas awam yang tidak diselenggara dengan baik pula boleh menjadi punca kepada pelbagai masalah kesihatan dan penyakit selain menimbulkan perasaan tidak selesa kepada pengguna.
Amat malang sekali apabila kita sering disapa dengan pemandangan menjijikkan dan bau yang kurang menyenangkan setiap kali kita menjengah ke tandas awam seperti di stesen minyak, kawasan rehat dan tumpuan pelancong.
Lebih menyedihkan, keadaan yang sama turut dialami di premis milik kerajaan serta pelbagai kemudahan yang dibina untuk kegunaan awam seperti dewan orang ramai, taman permainan dan stesen pengangkutan awam.
Seharusnya setiap rakyat Malaysia berasa malu dengan keadaan tandas yang kotor dan tidak terurus ini kerana kemudahan tersebut mungkin juga dikunjungi pelancong asing.
Di kawasan perumahan dan taman rekreasi pula kita dapat lihat alat permainan kanak-kanak tidak dijaga dengan baik sehingga boleh mengakibatkan kemalangan dan kecederaan.
Di sesetengah kawasan pula, jalan raya dan longkang tidak diselenggara dengan baik lantas menyebabkan banjir kilat apabila hujan lebat berlaku.
Lubang-lubang di atas jalan raya yang dibiarkan tanpa sebarang tindakan selama berminggu-minggu ini juga menyusahkan pengguna dan boleh menyebabkan kerosakan kenderaan serta kemalangan.
Kegagalan memangkas dahan pokok yang menutupi papan tanda di tepi jalan pula boleh menghalang pandangan pemandu kereta dan penunggang motosikal serta boleh menyebabkan kemalangan.
Perkara-perkara yang tidak menyenangkan ini merupakan gambaran tentang bagaimana kita terlalu bertolak ansur dengan kualiti kerja yang amat rendah, penguatkuasaan undang-undang yang lemah, pengurusan yang tidak sempurna, penyelenggaraan yang kurang baik dan kekurangan etika.
Apa yang menjadi pertaruhan bukan semata-mata isu etika tetapi juga aspek keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.
Penyelenggaraan bangunan yang kurang baik sudah pasti akan menjejaskan tahap kesihatan dan keselamatan di tempat kerja dan ia mesti diatasi sebaik mungkin.
Sudah tiba masanya untuk kita menolak mereka yang melaksanakan kerja berkualiti rendah serta memastikan pelaksanaan setiap projek dibuat dengan baik melalui pengurusan yang cekap dan penyelenggaraan yang teratur.
Kita seharusnya mengambil iktibar dan memperbaiki kelemahan kerana Malaysia sering didakwa sebagai sebuah negara yang memiliki infrastruktur Dunia Pertama tetapi rakyatnya masih terbelenggu dengan mentaliti Dunia Ketiga terutamanya dalam aspek penyelenggaraan.
Penyelenggaraan dan perkhidmatan yang baik tidak pernah menjadi tumpuan utama negara.
Usaha kerajaan menyediakan bangunan dan kemudahan yang canggih harus dipuji namun pada masa yang sama ia harus diselenggara mengikut jadual agar dapat berfungsi dengan baik.
Semua pihak berkuasa terbabit dan setiap rakyat Malaysia perlu menjadikan budaya penyelenggaraan yang baik sebagai sebahagian budaya hidup mereka agar kemudahan yang ada mampu dinikmati oleh generasi akan datang.
Kita tidak ada pilihan selain bergerak menjadi negara maju dengan membuang mentaliti dunia ketiga terutamanya dalam aspek penyelenggaraan kemudahan awam.
Menjadi harapan rakyat agar di bawah pentadbiran kerajaan baharu ini budaya penyelenggaraan dapat ditingkatkan melalui penyediaan dana yang mencukupi serta kemahuan politik untuk berubah.
Masanya telah tiba untuk kemunculan era baharu yang memberi penekanan kepada perkembangan budaya penyelenggaraan dan keselamatan yang baik.
Pada masa sama, ketua-ketua jabatan dan agensi serta pihak berkuasa tempatan perlu sentiasa meninjau keadaan di lapangan untuk memastikan kemudahan awam diselenggara dengan baik.
Meningkatkan imej negara bukan semata-mata tanggungjawab kerajaan kerana setiap warganegara perlu menjalankan kewajipan untuk sentiasa menghargai dan menjaga kemudahan awam serta meningkatkan kesedaran sivik.
Walaupun Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi dan kemajuan yang baik, ia tidak akan memberi erti jika rakyat tidak mempunyai kesedaran sivik yang tinggi.
Ini terbukti apabila sampah masih dibuang sewenang-wenangnya walaupun kempen anti pembuangan sampah secara berleluasa sering diadakan.
TAN SRI LEE LAM THYE ialah aktivis sosial.











