TIDAK sampai 48 jam lagi kira-kira 146,500 ahli UMNO di 191 bahagian bukan sahaja akan mengadakan mesyuarat malah lebih penting daripada itu mereka akan memilih barisan baharu di peringkat bahagian dan pusat.
Pada hari tersebut kesemua mereka akan membuat perhitungan untuk memilih satu barisan kepemimpinan yang bakal menentukan masa depan UMNO. Ketika ini semua calon yang bertanding sibuk berkempen dengan membentangkan agenda masing-masing.
Bagaimanapun tidak kira siapapun yang bertanding tetapi penentuan siapa yang akan dipilih terletak di tangan-tangan yang akan mengundi. Di tangan mereka ada sehelai kertas undi yang bakal menentukan nasib perjuangan UMNO.
Bagi penulis, kesemua calon tidak kira apapun jawatan harus dihormati kerana mereka berani menawarkan diri terus berjuang untuk UMNO yang kini bukanlah lagi parti pemerintah, sebaliknya sebuah parti yang harus diperbetulkan semula bagi membolehkan ia bangkit menebus kekalahan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Oleh itu, ahli-ahli UMNO yang akan mengundi tidak boleh ‘melayan’ pemilihan kali ini seperti mana pemilihan-pemilihan sebelum ini. Rakyat khususnya orang Melayu menanti siapa yang akan dipilih untuk melayari bahtera perjuangan UMNO seterusnya.
Dalam kalangan orang Melayu yang tidak terlibat dengan pemilihan UMNO, mereka pastinya mempunyai pilihan sendiri siapa yang paling sesuai untuk menerajui UMNO. Merekapun ada senarai sendiri, tetapi mereka tiada kuasa mengundi kerana yang akan memilih ialah kira-kira 146,500 ahli UMNO.
Ketika mengadakan perbincangan, pertemuan dan sembang-sembang dengan pelbagai kelompok pemerhati politik dan penyokong calon yang bertanding, masing-masing mengharapkan pemilihan UMNO kali ini benar-benar melahirkan barisan kepemimpinan yang boleh membangkitkan semula UMNO.
Justeru mereka mengharapkan ahli-ahli UMNO yang akan mengundi memikirkan semasak-masaknya sebelum membuat keputusan. Pemilihan ini perlu mencerminkan atau memberi isyarat bahawa mereka berupaya memilih satu barisan kepemimpinan yang bukan sahaja dilihat mampu memulihkan UMNO tetapi juga memberi harapan kepada orang Melayu.
Dalam berhadapan pemilihan yang cukup getir ini, ahli-ahli UMNO harus menyingkirkan sebarang sentimen atau terpengaruh dengan apa-apa juga tawaran, sebaliknya mengkaji secara mendalam sejauh manakah pemimpin-pemimpin yang bertanding itu mempunyai keupayaan dan kemampuan bagi memulihkan UMNO.
Seperti mana kata bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, pemilihan kali ini bukannya untuk memberi jawatan kepada mereka yang terpilih tetapi meneruskan perjuangan kerana UMNO kini tidak lagi boleh menawarkan apa-apa jawatan tetapi penuh dengan perjuangan.
Sememangnya kenyataan Mohamad adalah tepat sebab itulah barisan kepemimpinan yang dipilih tidak boleh sebarangan. Mereka perlu mempunyai kredibiliti, integriti dan reputasi yang mampu memberi harapan kepada orang Melayu untuk terus memperkukuhkan sokongan kepada UMNO.
Atas sebab itulah, melalui pemilihan barisan kepemimpinan yang tepat, UMNO mampu untuk dikukuhkan semula dari segenap segi termasuklah daripada imej-imej negatif yang dikaitkan dengan parti itu. UMNO bukanlah parti kecil apatah lagi bertaraf ‘melukut di tepi gantang’ dalam Barisan Nasional (BN), tetapi UMNO adalah parti yang mempunyai kerusi paling banyak di Dewan Rakyat.
Berikutan keadaan itu, UMNO tidak perlu ‘menyembah’ sesiapa untuk berkuasa atau kembali berkuasa, malah UMNO juga tidak berada dalam kedudukan yang cukup parah sehingga memaksa parti itu membuka kepada kaum lain untuk menganggotainya.
Memang benar ada yang meninggalkan UMNO selepas apa yang berlaku dalam PRU-14 tetapi itu hak mereka, biarlah rakyat menilai tindakan yang dilihat mengkhianati parti keramat orang Melayu itu. Namun, UMNO secara keseluruhannya masih lagi sebuah parti yang utuh tetapi memerlukan beberapa tindakan dan ‘pengubahsuaian’ bagi membolehkannya kembali berkuasa.
Dari segi pilihan raya, UMNO yang mengepalai BN, hanya tewas sekali daripada 14 kali PRU diadakan. Takkanlah baru tewas sekali, pemimpin atau ahli UMNO sudah kelam-kabut sehingga dilihat mahu menggadaikan segala-galanya demi mahu kembali berkuasa?
UMNO tetap perlu dipertahankan sebagai sebuah parti bermaruah dan mampu menjadi parti pembangkang paling kuat di negara ini. Dengan memiliki 3.5 juta ahli dan dipimpin oleh barisan terbaik yang dipilih dalam pemilihan kali ini sudah pasti UMNO mampu untuk bangkit semula.
Perlu diingatkan walaupun ada dalam kalangan pemimpin parti-parti yang bergabung dalam Pakatan Harapan menyatakan beliau tidak peduli soal pemilihan UMNO tetapi percayalah mereka juga ternanti-nanti siapa yang akan dipilih oleh ahli-ahli UMNO.
Ia memandangkan sesiapa sahaja yang terpilih pastinya akan menjadi sasaran ‘serangan’ apatah lagi jika di posisi jawatan tertinggi dan kanan parti. Oleh itu ahli-ahli UMNO benar-benar perlu teliti dalam membuat keputusan.
Kesemua calon yang bertanding ada kemampuan masing-masing tetapi siapakah dalam kalangan mereka paling terbaik, berpengalaman dan berintegriti untuk membolehkan UMNO bangkit semula ketika musuh-musuh politiknya mendoakan kehancuran parti Melayu itu. Dan nasib UMNO kini terletak kepada ahli-ahli UMNO yang memilih pada Sabtu ini. Oleh itu pilihlah dengan nama Allah SWT demi perjuangan bangsa, agama dan negara.











