MOSCOW – Aksi luar biasa pada separuh masa kedua yang dipamerkan oleh Sweden membolehkan wakil Eropah itu menempah slot ke pusingan kedua selepas menundukkan Mexico 3-0 di Arena Ekaterinburg sebentar tadi.
Keputusan tersebut membolehkan Sweden bergelar juara Kumpulan E apabila meraih enam mata daripada tiga perlawanan.
Meskipun tewas, nasib turut menyebelahi Mexico apabila juara bertahan, Jerman tewas mengejut 0-1 di tangan Korea Selatan sekali gus menyaksikan kemaraan wakil Amerika Utara itu ke pusingan kedua sebagai naib juara kumpulan.
Pada perlawanan tersebut, Mexico yang memerlukan satu mata untuk layak hanya cuba untuk bertahan pada babak pertama yang menyaksikan kedua-dua pasukan buntu mencari gol kemenangan.
Sweden yang terdesak memburu tiga mata penuh memperkemaskan jentera serangan dan berjaya meraih gol menerusi percubaan Ludwig Augustinsson pada minit ke-50.
Nasib Mexico bertambah parah apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti 10 minit kemudian yang berjaya disudahkan oleh Andreas Granqvist.
Gol sendiri yang dijaringkan oleh pemain Mexico, Edson Alvarez pada minit ke-80 mengesahkan kemenangan bergaya 3-0 Sweden. – K! ONLINE











