‘Saya tidak akan pulang ke England sebagai orang yang kalah’ - Utusan Malaysia

‘Saya tidak akan pulang ke England sebagai orang yang kalah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KALININGRAD, Rusia 26 Jun – Penjaga gol Belgium, Thibaut Courtois menegaskan, walaupun pasukannya sudah mengesahkan tiket ke peringkat kalah mati, namun mereka tetap mahu mengalahkan England dalam aksi terakhir Kumpulan G, Jumaat ini (pukul 2 pagi waktu Malaysia) demi maruah.

Tegas Courtois, kemenangan penting untuk terus membina momentum dalam Piala Dunia 2018, malah Belgium mempunyai banyak sebab untuk merasa teruja menjelang perlawanan itu kerana kebanyakan pemain mereka beraksi dalam Liga Perdana Inggeris.

“Saya fikir, ia bukan soal kamu menamatkan kempen di tempat pertama atau kedua tetapi kamu mahukan perasaan menang dan teruskan momentum kemenangan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi saya, ini adalah pertarungan maruah. Saya tidak mahu kembali ke England pada Julai ini sebagai orang yang kalah, membawa perasaan kalah.

“Ini tentang prestij kerana kami akan berdepan ramai orang-orang yang kami kenali, sama ada rakan-rakan kami di kelab atau musuh-musuh kami,” kata penjaga gol Chelsea itu kepada pemberita.

Sementara itu, pengurus Belgium, Roberto Martinez membayangkan akan melakukan beberapa perubahan dengan merehatkan pemain yang dibelenggi kecederaan atau berpotensi digantung perlawanan.

Perancang utama Manchester City, Kevin De Bruyne antara pemain yang sudah menerima kad kuning dan berdepan risiko terlepas aksi 16 akhir jika menerima satu lagi kad.

Penyerang Manchester United, Romelu Lukaku, Eden Hazard (Chelsea), Dries Mertens (Napoli) dan Vincent Kompany (City) pula dibelenggu kecederaan.

“Kami ada pilihan. Saya rasa, semua orang berhak bermain dalam Piala Dunia, jadi lebih baik saya memberi peluang kepada pemain-pemain lain untuk berada di atas padang dan memberi sumbangan.

“Tiada siapa yang menjamin tempat mereka ketika ini, itu cara saya melihat pasukan kami. Jadi, sentiasa ada kemungkinan,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini