KOTA BHARU 26 Jun – Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) mengesan kewujudan sindiket yang melakukan kegiatan vandalisme terhadap meter letak kereta sebelum mencuri duit syiling dari mesin berkenaan di sekitar bandar ini sejak awal tahun ini.
Ketua Penolong Pengarah Perhubungan Awam MPKB-BRI, Azman Mohd. Daham berkata, kegiatan tersebut menyebabkan pendapatan MPKB-BRI terjejas kira-kira 50 peratus selain hampir 1,500 meter letak kereta didapati telah rosak.
“MPKB-BRI mengutip sekitar RM200,000 sebulan hasil daripada meter letak kereta. Bagaimanapun sejak Januari lalu sehingga bulan ini, pendapatan MPKB hanya sekitar RM100,000, iaitu berkurangan hampir 50 peratus.
“Daripada 6,000 meter letak kereta yang ada di seluruh kawasan seliaan kita, kira-kira 1,500 unit didapati dirosakkan dengan sengaja manakala wang di dalam mesin itu didapati sering hilang,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Azman, berdasarkan siasatan awal, pihaknya percaya kegiatan tersebut dilakukan secara berkumpulan tanpa mengira kawasan termasuk lokasi tumpuan awam terutama di pekarangan pasar besar Mydin di Kubang Kerian dan Taman Bendahara di Pengkalan Chepa.
“Pihak MPKB-BRI telah melaporkan perkara ini kepada polis dan kita harap pelaku vandalisme serta pencuri ini dapat segera ditangkap,” katanya. – UTUSAN ONLINE










