KUBANG PASU 26 Jun – Walau siapa pun yang akan memegang tampuk kepemimpinan UMNO sebagai Presiden, individu berkenaan perlu memegang prinsip untuk tidak‘membunuh’ golongan berkarakter ‘Jebat’ bagi kembali mengangkat imej parti terbesar orang Melayu itu di mata rakyat.
Tidak hanya di peringkat tertinggi, malah tegas Pengarah Institut Pemikiran Dr. Mahathir (IPDM), Dr. Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri, kepemimpinan di peringkat sayap, Bahagian dan Cawangan juga perlu lebih terbuka untuk menerima kritikan dan cadangan walaupun teguran disampaikan agak pedih dan pahit untuk ditelan.
“Kalau kita bercakap orang marah tetapi masing-masing kena terima hakikat bahawa budaya dalam UMNO selama ini seolah-olah tak boleh ada orang pandai. Kalau ada yang nampak cerdik, akan dicantas awal-awal kerana takut mengancam kedudukan orang lain.
“Kalau betul mahu kembalikan keyakinan rakyat, perubahan yang dilakukan tidak boleh bersifat kosmetik semata-mata dengan parti terus menjadi eksklusif untuk golongan tertentu tanpa ada keterbukaan. Yang tinggal semua bersifat ‘Tuah’ dengan hanya mengangguk walaupun kapal kian karam sedangkan ‘Jebat’ yang mahu membetulkan keadaan pula dibunuh,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mengulas mengenai keputusan ketiga-tiga sayap parti yang diumumkan baru-baru ini, beliau mengakui seakan ada tanda-tanda positif daripada pemilihan tersebut di mana ketiga-tiga individu yang dipilih untuk mengetuai Pemuda, Wanita dan Puteri tidak hanya terdiri daripada mereka yang popular dalam parti, malah turut memiliki imej baik dalam kalangan rakyat.
“Begitu pun untuk kembali kuat, UMNO perlu kembali kepada dasar asalnya yang bertunjangkan Melayu. Kalau sudah bertunjangkan Melayu, dalam apa keadaan sekali pun mereka tidak akan lari dari dasar memperkukuhkan Islam seperti termaktub dalam Perlembagaan.
“Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki merupakan golongan agamawan yang setakat ini dilihat mampu dan sedar akan keperluan melakukan pembersihan secara holistik. Cabaran terbesarnya ketika ini adalah untuk membuang elemen lama iaitu ‘baju elit’ yang sentiasa dilihat dipakai oleh Pemuda UMNO,” katanya.
Sementara itu katanya, antara perkara yang turut diperhatikan rakyat adalah bagaimana sayap pemuda UMNO mampu untuk kembali mengaum untuk tidak hanya menjadi badan yang menyemak imbang kerajaan malah turut menegur setiap kesilapan dilakukan pucuk pimpinan parti seperti dilakukan pejuang terdahulu.
“Semua itu perkara yang dirindui rakyat dari UMNO. Kebelakangan ini Pemuda UMNO dilihat gagal memainkan peranan itu malah mereka turut gagal memperjuangkan habis-habisan perkara yang diuar-uarkan.
“Kalau benar mereka perjuangkan usahawan muda dan golongan yang tiada pekerjaan contohnya, perjuangkanlah bersungguh-sungguh sehingga nampak hasilnya. Jangan hanya berslogan sedangkan rakyat tidak nampak di mana hasilnya,” katanya.-UTUSAN ONLINE










