ALOR SETAR 26 Jun – Dua lelaki maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal di Kilometer 71 Lebuh Raya Utara – Selatan arah selatan di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.18 malam itu, kedua-dua mangsa maut yang berusia awal 20-an meninggal di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintenden Arriz Sham Hamezah berkata, siasatan awal mendapati motosikal ditunggang dan dibonceng mangsa yang maut merempuh sebuah motosikal lain yang rosak di tepi lebuh raya berkenaan.
“Dipercayai motosikal berkenaan ditunggang laju menyebabkan penunggangnya tidak dapat mengelak sebuah motosikal yang berhenti di tepi jalan berkenaan selepas mengalami kerosakan. Kemudian sebuah motosikal lain dari arah Gurun menghala Alor Setar juga tidak sempat mengelak, terbabas ke bahu jalan.
“Akibat kemalangan itu, penunggang dan pembonceng motosikal tersebut maut di tempat kejadian. Sementara dua lagi penunggang motosikal berusia dalam lingkungan 20-an masing-masing mengalami patah bahu dan kaki,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Arizz Sham, kesemua mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, di sini untuk dibedah siasat dan mendapatkan rawatan lanjut.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -UTUSAN ONLINE










