MELAKA – Seorang lelaki ditahan semalam bagi membantu siasatan berhubung kes mengugut seorang anggota Rela di Jonker Walk di sini sehingga menjadi tular dalam media sosial pada Ahad lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Nor Yhazid Idris berkata, peniaga berusia 42 tahun itu ditahan di hadapan sebuah bengkel di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam pada pukul 3 petang, tidak sampai 24 jam selepas kejadian tersebut berlaku.
Katanya, dalam kejadian pukul 6.45 petang itu, mangsa yang sedang bertugas di Jonker Walk mengarahkan sebuah kenderaan jenis Subaru berwarna hitam yang dipandu melawan arus berpatah balik.
“Pemandu kenderaan tersebut sebaliknya memandu laju ke arah anggota Rela sebelum keluar (daripada kenderaan) membawa sebatang kayu.
“Suspek mengugut untuk memukul mangsa dan memberitahu akan membawa rakan untuk memukul anggota berusia 33 tahun itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Mohd. Nor Yhazid, kejadian tersebut bagaimanapun dileraikan oleh orang awam.
Selain tangkapan, polis turut merampas sebatang rotan panjang untuk tujuan siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya. – K! ONLINE










