Bila Kabinet penuh mahu diumumkan? - Utusan Malaysia

Bila Kabinet penuh mahu diumumkan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 25 Jun – Hari berganti hari, minggu berganti minggu namun senarai ahli Kabinet baharu yang dinanti-nantikan masih belum diumumkan oleh kerajaan Pakatan Harapan bagi memenuhi kekosongan di beberapa buah kementerian.

Hari ini pula berlegar dalam media-media sosial senarai ahli Kabinet yang entah datang dari sumber mana walaupun Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri masih mengunci mulut untuk membuat pengumuman rasmi mengenainya.

Beberapa sumber ketika dihubungi memaklumkan Pakatan Harapan yang terdiri daripada PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), DAP dan Amanah masih belum mencapai kesepakatan untuk memuktamadkan sena­rai barisan Kabinet tambahan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Seperti yang ramai sedia maklum, PPBM yang memperoleh 13 kerusi mempunyai calon-calon yang layak diketengahkan untuk mengisi jawatan menteri namun sudah tentu ia ditentang oleh DAP dan PKR yang memperoleh lebih banyak kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) serta Ama­nah yang juga tidak berpuas hati.

Dikhabarkan, senarai yang dikemukakan oleh DAP dibantah oleh PKR dan PPBM manakala senarai yang dibawa oleh PKR pula dibantah oleh DAP dan Amanah serta PPBM.

Sumber memaklumkan, Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mempunyai senarai masing-masing dan apabila nama-nama tersebut diangkat sudah tentu ada bantahan sesama sendiri.

Dalam hal ini, bukan mudah untuk Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menangani perkara ini, tambahan pula hendak berdepan dengan Perdana Menteri, yang difahamkan mahu mengurangkan pengaruh PKR dalam Kabinet.

Menurut sumber, sebagai contoh ada calon dari DAP telah disenaraikan sebagai calon timbalan menteri namun menolak cadangan tersebut kerana merasakan dia lebih layak untuk diangkat sebagai menteri penuh dan isu-isu sebegini membuatkan barisan Kabinet penuh sukar untuk dibentuk.

Bagaimanapun, para pe­ngundi Pakatan Harapan tidak mendesak kerajaan baharu mengu­mumkan segera Kabinet baharu kerana mereka yakin dengan air tangan Dr. Mahathir dalam menentukan hala tuju negara.

Prinsip perkongsian sama rata Pakatan Harapan turut membe­lenggu mereka apabila jumlah kerusi yang diperoleh DAP, PKR, PPBM dan Amanah akhirnya membawa kesulitan dalam mengisi kerusi menteri.

Sumber memaklumkan, penubuhan Majlis Penasihat Kerajaan oleh Dr. Mahathir turut menjadi faktor penyumbang kepada kelewatan pengumuman barisan Kabinet penuh apabila sekutu Pakatan Harapan mula menyua­rakan rasa tidak senang dengan tindak tanduk anggotanya yang dilihat lebih berkuasa daripada menteri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini