SIAPA bakal presiden UMNO? Itu yang ditunggu-tunggu peminat politik tanah air termasuklah kerajaan Pakatan Harapan.
Nak Tumpang lalu bubuh atau labelkan ‘peminat’ itu sebagai penganalisis atau pemerhati politik tak beberapa kena sebab segala jangkaan atau tekaan si ‘penganalisis’ pasti meleset dalam era Malaysia Baharu 2018 ini.
Hakikat yang perlu diakui, senario politik Malaysia pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini sedang melalui cetusan gelombang norma-norma baharu (new norms) yang dilihat begitu trendy.
Baik Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mahupun Khairy Jamaluddin (KJ), ketiga-tiganya Tumpang lalu fikir memiliki peluang seimbang untuk menjadi Presiden UMNO.
Dalam tempoh empat hari ini sahaja menjelang Sabtu, 30 Jun ini siapa pun antara mereka terpilih sebagai presiden, akan mengetuai sebuah parti Melayu yang paling ramai ahli dan pengikutnya di negara ini.
Walaupun nasib tidak menyebelahi UMNO dalam PRU-14, 9 Mei lalu, UMNO harus segera kembali memperbetulkan dirinya. Apatah lagi, struktur Barisan Nasional (BN) yang ditunjanginya kini tinggal nyawa-nyawa ikan – UMNO, MCA dan MIC.
Cuma apabila bercakap tentang UMNO, perkara utama yang melekat sangat di kepala Tumpang lalu adalah perjuangannya membela nasib orang Melayu, Islam dan institusi raja. Kalau lebih fokus kepada Melayu, tentunya soal ketuanan Melayu.
Apa yang sebenarnya dianggap sebagai ketuanan Melayu itu ialah kedaulatan dan keistimewaan Raja-Raja Melayu. Institusi Raja atau kesultanan Melayu itu sentiasa rapat dengan psyche keMelayuan. Secara tradisi, pentadbir Inggeris seperti Frank Swettenham, Hugh Clifford, Mubin Sheppard dan lain-lain pentadbir Inggeris sering memperlihatkan sifat simpati mereka terhadap orang Melayu. Ini kerana mereka menyedari kedudukan dan hak orang Melayu sebenar. Swettenham pernah berkata “the Malays have their own outright position as native inheritors of their land.”
Dalam The Federation of Malaya Agreement 1948 atau Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, semasa Bintang Tiga dan gerombolan penjahat komunis bergelut untuk merampas Malaya dari tangan British, pegawai-pegawai tinggi mereka terus bersedia dan bersimpati terhadap kepentingan orang Melayu sebagai penduduk dan pewaris asal. Perkara-perkara pokok seperti hak hak keistimewaan orang Melayu, hak kedaulatan dan kebesaran Raja-Raja Melayu, agama Islam dan adat istiadat Melayu antara lain diberi peruntukan di dalamnya.
Perjanjian ini sah mengatakan bahawa kepentingan orang Melayu dan kaum-kaum lain tidak disia-siakan. Perjanjian inilah yang menjadi asas rujukan Suruhanjaya Reid sembilan tahun kemudian yang merangka Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957. Dalam laporan Suruhanjaya Reid terkandung ayat ini:
The Alliance in their memorandum said – The Constitution should therefore provide that the Yang di-Pertuan Besar (Agong) should have the special responsibility of safeguarding the special position of the Malays.
Ungkapan rasmi tersebut membuktikan bahawa kontrak sosial atau ikatan kemasyarakatan seperti yang dipeturunkan di atas adalah persetujuan yang mengiktiraf kedudkan khas orang Melayu disisi kaum-kaum di Malaya ketika itu
Begitupun keistimewaan orang Melayu dan bumiputera bukanlah tanpa sempadan dari segi realitinya. Justeru, keistimewaan itu harus dilampini dengan perolehan dan kepakaran ilmu secara berterusan.
Kedaulatan Raja-Raja Melayu memang akan tetap kukuh dan berkuat kuasa selagi pemerintahan berparlimen dan Raja berperlembagaan kekal di Malaysia. Sistem yang ada juga bermakna bahawa kepentingan warga bukan Melayu tidak diabaikan kerana kuasa Parlimen membuat undang-undang negara yang berasaskan keadilan dan kesaksamaan tetap wujud dan terpelihara. Demikianpun, rakyat Malaysia harus diberi lunas menghormati dan menghayati kedaulatan Raja. Cara terbaik ialah dengan melunaskan Rukunegara sepenuhnya melalui latihan dan pembelajaran.
Yang perlu diingati ialah setakat mempunyai hak-hak keistimewaan seperti yang terkandung pada Per. 153, atau setakat kedaulatan terhad Raja-Raja Melayu (Per. 38 dan 181), bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan (Per. 152), perkhidmatan awam yang majoriti Melayu, agama Islam sebagai agama rasmi negara (Per. 3) ini semua belum menjamin kekuatan semulajadi, jauh sekali mendaftarkan ketuanan Melayu itu sendiri.
Yang penting, orang Melayu mesti kuat dari segi politik. Bila kuasa di tangan harus pandai menggunakannya dengan bijak. Ketuanan akan datang dan kekal jika kuasa politik kukuh dan terus membela bangsa sendiri.
Malangnya kekukuhan dan ketuanan bukan komoditi yang mudah diperoleh dengan hanya laungan. Ia akan hanya datang dan berada di sisi apabila perjuangan itu luhur dan tidak kotor.
Laungan ketuanan Melayu itu seharusnya dilihat dari sudut ilmu, kebolehan dan kemampuan, merit dan dedikasi terhadap tugas dan tanggungjawab serta disiplin politik.
Kalau kita beli undi untuk jadi ketua bahagian atau hendak jadi pemimpin dalam UMNO, bagaimana kita boleh kata kita Tuan?
Sebagai warga asal, orang Melayu dan pribumi memang boleh berbangga dan mendabik dada jika sifat-sifat tinggi peradaban tersebut terlengkap pada diri pemimpin dan yang dipimpin.
Bila ini terbukti, dengan sendirinya orang Melayu dan kaum pribumi akan dilonjakkan oleh masyarakat Malaysia.
Tetapi sekadar melaungkan Melayu tuan kepada sekalian yang lain, barang sudah tentu akan menyulitkan perjuangan itu sendiri.
Justeru sebelum mana-mana parti politik, waima UMNO sekalipun melaungkan ketuanan, keagungan dan sebagainya, muhasabah diri perlu dilaksanakan.
Kekuatan dalaman perjuangan mesti dicapai kembali supaya para pemimpin Melayu insaf bahawa politik mencapai dan mengekalkan kuasa harus terumpu kepada bangsa sendiri terlebih dahulu.










