KUALA LUMPUR – Bekas Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Mustafha Abd. Razak dan bekas pengerusi bank itu, Tan Sri Abdul Aziz Zainal menarik nafas lega apabila dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi.
Mereka sebelum ini menghadapi pertuduhan pecah amanah dan bersubahat membabitkan peruntukan kumpulan perbelanjaan pemasaran hampir RM15 juta Mac dua tahun lalu.
Hakim Madihah Harullah memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan memaklumkan menerima representasi daripada pihak pembelaan untuk menggugurkan pertuduhan itu yang dihantar kepada Jabatan Peguam Negara pada 1 Jun lalu.
Pada 7 September 2016 kedua-dua tertuduh didakwa di mahkamah dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.
Mengikut pertuduhan, Mustafha, 50, didakwa melakukan pecah amanah membabitkan peruntukan kumpulan perbelanjaan pemasaran berjumlah RM14,991,283.20 yang diamanahkan terhadapnya di Menara Kembar Bank Rakyat, No. 33 Jalan Travers di sini pada 11 Mac 2016.
Abdul Aziz, 67, pula didakwa bersubahat dengan Mustafha melakukan kesalahan yang sama pada tempat dan tarikh yang sama.
Mustafha didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan manakala Abdul Aziz didakwa mengikut Sesyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 409 kanun yang sama.
Jika disabitkan kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda. – K! ONLINE











