MUKADIMAH
Selepas 31 tahun, TENGKU RAZALEIGH HAMZAH sekali lagi akan bertanding kerusi Presiden UMNO dalam pemilihan parti 30 Jun ini.
Namun kali ini beliau menawarkan diri bukanlah dalam keadaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) berkuasa. ‘Tsunami’ politik yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lalu mengubah landskap pemerintahan negara.
Walaupun UMNO menjadi parti tunggal memiliki kerusi paling banyak di Dewan Rakyat tetapi Barisan Nasional (BN) secara keseluruhan menguasai 57 kerusi selepas parti-parti di Sarawak membuat keputusan meninggalkan BN.
Oleh itu sudah tentulah sesiapa juga yang menjadi Presiden UMNO, beliau bukan sahaja akan bertanggungjawab memimpin UMNO bangkit semula tetapi juga memastikan BN kembali berkuasa.
Sebagai seorang ahli politik yang berpengalaman, Tengku Razaleigh yang kini berusia 81 tahun amat memahami cabaran berkenaan.
Dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, ZULKI FLEE BAKAR, HUSSAINI AMRAN dan SAFINA RAMLI serta jurugambar, MOHD. HAFIZ JOHARI dan juruvideo, MOHD. AFIZI ISMAIL , Ahli Parlimen Gua Musang itu yang dianggap seorang tokoh yang dihormati oleh kawan dan lawan, dalam nada penuh keikhlasan memaparkan kenapa beliau bersedia menerima permintaan pelbagai pihak khususnya di dalam UMNO bertanding jawatan Presiden parti tersebut.
MINGGUAN: Pada tahun 1987, Tengku membuat keputusan bertanding jawatan Presiden mencabar Tun Dr. Mahathir Mohamad. Mungkin ketika itu orang kata tidak mengapa kerana UMNO masih berkuasa, tetapi sekarang dalam usia 81 tahun dan ketika UMNO sudah tidak lagi berkuasa, apakah yang mendorong Tengku mengambil risiko bertanding kerusi Presiden?
TENGKU RAZALEIGH: Tak munasabahkan? Keluarga saya pun kata kenapa mahu menghabiskan sisa-sisa hidup dengan perjuangan yang tidak ke mana tetapi ramai berhubung dengan saya daripada kalangan keluarga UMNO dan orang luar UMNO, ada dalam kalangan pembangkang (kerajaan) pun kata kenapa kamu bazir masa.
Kamu sudah menyumbang kepada parti dan negara setakat yang mampu, patutnya ini masa berehat.
Tetapi saya terpanggil kerana ramai yang berjumpa saya berkata, ini tanggungjawab kita bersama… tengok sebuah parti yang digelar parti keramat dalam kalangan orang Melayu mahu dibiarkan jadi begini?
Saya bersikap terbuka dan mempunyai ikatan begitu rapat dengan UMNO. Semasa belajar di London lagi, saya memiliki hubungan dengan pemimpin yang datang kerana saya pemimpin pelajar ketika itu.
Ia termasuklah dengan Tun Abdul Razak Hussein dan Tunku Abdul Rahman yang kerap datang ke London serta Eropah untuk berunding mengenai kemerdekaan.
Saya rasa tidak boleh dipisahkan dengan UMNO apatah lagi saya dengan UMNO sudah berpuluh tahun dan lebih separuh umur saya bersama parti ini.
Saya pun habiskan masa banyak dalam politik dengan bertanding untuk Dewan Undangan Negeri (DUN), bertanding untuk Parlimen dan sebagainya, ada sedikit sebanyak sumbangan. Itu sumbangan ikhlas daripada saya.
Ramai bekas pemimpin, bekas menteri yang datang bertemu saya. Mereka minta saya fikir mengenai masa depan parti.
Mereka kata takkan saya nak berdiam diri sahaja. Tidak begitu, cuma saya rasa sudah tua dan lanjut usia serta seelok-eloknya orang muda yang ambil alih.
Sebenarnya kita tak boleh nak salahkan sesiapa dalam kekalahan pilihan raya baru-baru ini kerana nampaknya gelombang sangat kuat daripada rakyat yang mahu perubahan dan menolak perjuangan yang dibawa oleh Barisan Nasional (BN) sebagai kerajaan dan parti politik.
Saya berasa bertanggungjawab juga walaupun tidak bertanggungjawab secara langsung dengan pimpinan yang lepas, kerana saya tidak berada dalam Majlis Tertinggi atau Kabinet atau kerajaan atau duduk dalam badan kerajaan.
Apabila ramai pemimpin jumpa saya terutamanya bekas pemimpin termasuk Khairy Jamaluddin sendiri, saya kata kamu semua yang patut menerajui dan kita akan bantu secara positif dan saya sanggup habiskan beberapa banyak masa dan tenaga untuk membantu hidupkan semula semangat perjuangan supaya UMNO bangkit sebagai parti yang baharu dan gagah.
Khairy kata dia tidak mampu, kena bergantung kepada orang lama.Selepas itu saya fikir dan tanya kawan-kawan rapat yang sayang kepada perjuangan UMNO, saya memutuskan, saya tak boleh lari daripada tanggungjawab ini maka saya tawar diri.
Sebagai seorang pemimpin yang nak menghidupkan semula UMNO dari segi semangatnya, itu sebab saya buat pengumuman kerana banyak orang cakap spekulasi.
Saya terpanggil untuk berbuat demikian (bertanding), ini sumbangan positif terhadap kehidupan sebuah perjuangan atau sebuah parti yang telah banyak berjasa bukan sahaja kepada negara tetapi kepada rakyat bukan sahaja orang Melayu tetapi juga bukan Melayu.
Saya tidak buat kesilapan untuk tawar diri, kalau diterima, Alhamdullilah. Kalau tidak diterima, sekurang-kurangnya saya sudah tunaikan tanggungjawab sebagai seorang yang setia terhadap perjuangan parti.
Sejauh manakah keyakinan pelbagai pihak bahawa Tengku paling layak untuk menyaingi Tun Dr. Mahathir hingga mempengaruhi keputusan untuk bertanding?
TENGKU RAZALEIGH: Susah saya nak kata, kerana sikap Tun Dr. Mahathir ini orangnya istimewa, mempunyai kebijaksanaan luar biasa berbanding ahli-ahli politik lain di Malaysia, sebab tak ada tolok banding.
Tunku Abdul Rahman walaupun dia Bapa Kemerdekaan, dia cuma jadi Perdana Menteri 15 tahun. Dia (Dr. Mahathir) 22 tahun lamanya bertahan di jawatan itu dan banyak orang cuba nak ambil tempat dia.
Saya pun cuba tetapi tak berhasil kerana dia disanjung oleh ramai pihak. Sekarang ini dia telah menawar diri dengan beraninya untuk mengganti pimpinan yang ada masa itu dan dia berjaya.
Kita tengok sejauh mana dia dapat tunaikan janji dia sebagaimana yang dipromosi menerusi manifesto parti dia.
Ada penganalisis politik melihat Tengku tidak sesuai untuk menduduki jawatan Presiden dengan menjadikan kegagalan BN menawan semula Kelantan daripada Pas sebagai ukuran dan pada masa sama ada pemimpin UMNO Kelantan yang tidak bersetuju Tengku bertanding.
TENGKU RAZALEIGH: Kamu nak menawan negeri itu bukan hanya menggunakan tenaga seorang, lagipun saya hanya dijemput membantu dan saya tak ada penglibatan secara langsung untuk menawan politik Kelantan, hanya 10 hari sebelum mengundi atau 10 hari sebelum penamaan calon saya dipelawa untuk melibatkan diri dalam kempen.
Itu sahaja membantu sana sini. Itu pun saya sempat melawat beberapa bahagian sahaja, tak menyeluruh. Tak ada pun kata boleh beri input yang boleh dipertimbang secara serius oleh mana-mana pihak.
Jadi saya rasa tak padan dengan masa singkat nak menumbangkan kerajaan yang telah berkuasa di Kelantan hampir 29 tahun. Bukan satu perkara yang mudah.
Apatah lagi dia terikat asas yang kuat dari segi pegangan keagamaan yang ditekankan oleh Pas kepada rakyat Kelantan.
Apabila kempen bermula sudah pasti akan ada serangan yang akan dilancarkan ke atas Tengku dan mungkin mereka akan membangkitkan semula peristiwa 1987 bahawa Tengku tidak menghormati demokrasi dan suara ramai sehingga UMNO diharamkan. Apa mesej atau jaminan bahawa apa berlaku pada 1987 tidak berulang semula?
TENGKU RAZALEIGH: Saya tidak melawan Dr. Mahathir dalam pertandingan kali ini dan saya tidak ada niat selain daripada mahu menghidupkan semula semangat perjuangan UMNO, kembalikan roh perjuangan itu kepada UMNO. Apa yang ada pada UMNO sekarang? Kuasa tidak ada, apa pun tak ada.
Itu sebab mengapa orang kata kenapa saya mahu sia-siakan masa dengan perjuangan seumpama ini. Cuma saya bimbang kalau kita tidak berpakat membantu untuk menghidupkan UMNO, takut UMNO hilang begitu sahaja. Sedangkan UMNO ada perwakilan yang besar dalam Parlimen.
Ada 54 ahli yang dipilih mewakili suara rakyat selain daripada dua dari MIC dan satu dari MCA. Suara yang besar. PKR pada masa ini hanya ada 47 wakil itu pun tidak terdiri daripada orang Melayu semata-mata, campur aduk. PPBM ada 13 orang, suara UMNO itu masih dihargai rakyat.
Soalnya, walaupun kita tidak berkuasa kali ini apakah kita tak akan berkuasa balik? Itu Tuhan yang tahu, mungkin kalau semua pihak sedarkan diri, tidak lagi berlaku kesilapan lama, muhasabah diri dan baiki kelakuan kita.
Mungkin kita boleh pulih keadaan dalam masyarakat supaya menarik perhatian orang menyokong kita balik. Ini semuanya bergantung kepada usaha kita.
Secara jujur, walaupun UMNO berjaya memenangi 54 kerusi Parlimen yang sudah pastinya hasil sokongan orang Melayu tetapi dalam masa sama sokongan orang Melayu juga dikatakan semakin terhakis kepada UMNO, apa misi yang akan dibawa dalam pemilihan kali ini?
TENGKU RAZALEIGH: Saya rasa kita kena menoleh ke belakang mengapa orang menolak UMNO dalam pilihan raya lepas. Ia bukan semata-mata kerana UMNO atau perjuangan UMNO, tetapi barangkali kerana tingkah laku sesetengah pemimpin yang dirasa tidak disenangi ramai pemimpin UMNO sendiri atau orang luar.
Isu lain yang dibangkitkan oleh mereka yang terlibat dalam kempen ialah kos hidup meningkat naik dikatakan disebabkan oleh cukai barang dan perkhidmatan (GST).
Padahal yang diperkenalkan oleh kerajaan, untuk menambahkan hasil kerajaan supaya boleh mengurangkan subsidi dan sebagainya yang tak tertanggung lagi untuk dipikul kerajaan dan kita kecualikan banyak barang-barang perlu daripada dikenakan GST.
Kos sara hidup secara tidak langsung ada menjejaskan juga kuasa beli rakyat. Tetapi barang-barang keperluan tidak dikenakan GST. Jadi tak ada kena mengena dengan kos hidup sebenarnya pada perincian terjemahan daripada itu.
Saya rasa isu lain melibatkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), skandal-skandal sampingan itu dijadikan isu dalam pilihan raya. Kalau kita nak bahas tak habis satu hari pun. Banyak benda yang dibangkitkan oleh orang ramai.
Pemilihan kali ini bukan sekadar untuk memilih pemimpin, tetapi penentu kepada kelangsungan politik UMNO. Apa mesej Tengku kepada perwakilan sebelum membuat keputusan pada 30 Jun ini?
TENGKU RAZALEIGH: Pemilihan parti kali ini adalah pemilihan yang sangat penting jika bukan terpenting abad ini. Ia akan menentukan sama ada UMNO itu terus relevan bukan sahaja kepada ahli-ahlinya tetapi juga relevan kepada rakyat Malaysia.
Kita perlu baiki cara kita berjuang, kita tak boleh memikirkan ini landasan untuk kita bersandiwara. Masa depan UMNO bergantung kepada tindak-tanduk kita, sebagai orang yang bertanggungjawab memimpin dan menentukan dasar parti.
Perwakilan UMNO perlu membuktikan bukan sahaja ahli-ahlinya tetapi juga kepada rakyat Malaysia bahawa UMNO benar-benar ikhlas dalam mahu berubah kepada UMNO yang mereka hormati dan rindui, UMNO yang ditubuhkan untuk membela nasib rakyat Malaysia.
Saya berharap, para perwakilan akan memilih atas semangat itu.











