Seorang peniaga meluahkan kebimbangannya kepada saya tentang penurunan indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI).
Peniaga ini yang memiliki pengalaman lebih dua puluh tahun sebagai pegawai pengurusan salah sebuah bank terbesar di Malaysia sebelum menceburi bidang perniagaan pada tahun ini berasakan bahawa pasaran saham Malaysia perlu berada pada landasan yang betul.
Baginya, penurunan pasaran saham Malaysia boleh menyebabkan kerugian terhadap pelabur-pelabur institusi Malaysia yang melabur menggunakan dana daripada wang rakyat. Paling utama dibimbangi ialah kesan terhadap pemberian dividen yang akan dibayar kepada pelabur rakyat Malaysia. Adakah ada asas kebimbangannya?
Dalam hal ini, kita perlu memahami reaksi pelabur pasaran saham. Pelabur pasaran saham sebenarnya bergantung pada maklumat. Bagi pasaran saham yang cekap, segala maklumat yang diperoleh dengan pantas oleh pelabur akan digunakan dalam membuat keputusan pelaburan.
Pembuatan keputusan yang berdasarkan maklumat pula terdiri daripada laporan atau berita baik mahupun berita yang kurang baik. Sudah tentulah berita baik diperoleh oleh pelabur akan memberi kesan positif terhadap pasaran saham. Sebaliknya, pelabur akan memberi reaksi kurang baik terhadap berita sebegini atau lebih teruk lagi, berita buruk.
Misalnya, ambil contoh kisah tragis skandal perakaunan melibatkan juruaudit Arthur Andersen dan Enron. Skandal perakaunan ini bukan sahaja menyebabkan reaksi negatif terhadap saham Enron tetapi juga syarikat-syarikat yang diaudit oleh Arthur Andersen.
Mungkin ada yang bertanya apa kena mengena antara skandal Enron dan syarikat-syarikat yang diaudit oleh Arthur Andersen. Dalam hal ini, sebenarnya, pelabur sudah tidak yakin dengan Arthur Andersen sebagai juruaudit bebas ekoran skandal perakaunan melibatkannya dan Enron.
Oleh itu, reaksi negatif pelabur bukan setakat terhadap saham Enron tetapi berjangkit kepada saham syarikat-syarikat yang diaudit Arthur Andersen di Amerika Syarikat (AS). Ini menggambarkan bahawa pelabur akan memberi reaksi negatif terhadap berita kurang baik diperoleh mereka.
Sebaliknya, pelabur akan memberi reaksi positif terhadap pasaran saham jika mengetahui berita-berita baik yang berlegar dalam pengetahuan mereka. Misalnya, kenaikan harga minyak global boleh mencetuskan reaksi positif pelabur terhadap keyakinan mereka mengenai pengukuhan ekonomi sesebuah negara pengeksport minyak dunia.
Memantau
Dengan jangkaan harga minyak global yang semakin tinggi, maka pelabur semakin yakin bahawa negara pengeksport minyak dunia memiliki kelebihan dalam menjana pendapatan negara yang lebih tinggi. Oleh itu, tidak mustahil tempiasnya memberi kesan positif terhadap bursa saham terutama melibatkan syarikat petroleum.
Begitu juga bagi sebarang pengumuman baik dalam negara yang khusus terhadap industri-industri tertentu boleh memberi kesan positif terhadap saham syarikat-syarikat berkenaan.
Berita ini tidak semestinya melibatkan domestik semata-mata tetapi juga berita luar negara. Misalnya, pada masa kini, isu perang perdagangan antara AS dan kuasa ekonomi kedua terbesar dunia China, terus memberi kesan terhadap pelaburan pasaran saham dunia termasuklah di negara-negara Asia.
Malah, memburukkan lagi keadaan, dilaporkan bahawa Kesatuan Eropah (EU) juga mula terlibat dalam perang perdagangan dan kini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pelabur antarabangsa berkenaan dengan perang perdagangan global.
Hal ini berlaku sedemikian kerana perang perdagangan melibatkan kedua-dua negara kuasa ekonomi terbesar di dunia dan EU boleh menyebabkan pelabur berhati-hati dalam pelaburan mereka.
Hanya dengan meredakan ketegangan dalam perang perdagangan ini akan memulihkan keyakinan pelabur pasaran saham. Ini satu lagi berita yang boleh memberi kesan terhadap pembuatan keputusan pelaburan dalam pasaran saham global.
Sama ada berita itu berbentuk umum mahupun persendirian, ia akan menjadi maklumat buat pelabur dalam membuat keputusan pelaburan. Maklumat-maklumat inilah yang akan dianalisis oleh pelabur terhadap prospek sesebuah syarikat.
Misalnya, sesebuah syarikat yang disenaraikan dalam bursa saham telah mengumumkan keputusan kewangan syarikat yang terkini. Pastinya, keputusan kewangan syarikat akan dianalisis oleh pelabur sebelum sebarang keputusan dibuat oleh mereka.
Lebih-lebih lagi melibatkan pelabur-pelabur institusi, mereka perlu membuat keputusan secara mendalam agar tiada sebarang kesilapan dalam pembuatan keputusan pelaburan mereka.
Dengan ini, ilmu dalam bidang kewangan dan pasaran saham cukup penting bagi membolehkan mereka mendapat pulangan, seterusnya memulangkan balik kepada para pendeposit.
Sayugia diingatkan bahawa sudah menjadi lumrah untung rugi dalam perniagaan termasuklah dalam pasaran saham. Bagi pelabur institusi, sebarang penurunan pasaran saham, akan menjadi kerugian atas kertas sahaja selagi saham tersebut tidak dijual.
Keuntungan dapat direalisasikan apabila berlakunya kenaikan, seterusnya, saham syarikat yang dilabur dijual kepada pihak lain.
Oleh demikian, tidak hairanlah terdapat penganalisis kewangan yang menyatakan bahawa Bursa Malaysia akan mengalami peningkatan dalam tempoh jangka masa sederhana dan panjang.
Apa yang berlaku sekarang adalah proses pembetulan yang mana pelabur-pelabur akan memberi reaksi terhadap sebarang berita yang diperoleh mereka.
Dalam hal ini, kita boleh lihat bagaimana indeks Bursa Malaysia pernah mengalami kejatuhan yang cukup rendah pada era krisis ekonomi Asia 1997/98 tetapi meningkat kembali selepas tindakan pembetulan telah dilaksanakan.
Sememangnya, indeks Bursa Malaysia, FBM KLCI pernah mencatatkan paras tertinggi pada bulan April tahun ini menghampiri 1,900 mata dan selepas itu mengalami penurunan di bawah 1,700 mata pada hari Khamis lalu dengan 1,692.32 mata dan meningkat semula kepada 1,694.15 sehari kemudian.
Kenaikan ini ekoran reaksi positif pelabur dengan pengumuman pelantikan Gabenor Bank Negara baharu, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus. Dalam hal ini, pelabur juga akan memberi reaksi terhadap sebarang pengumuman oleh kerajaan pada masa akan datang termasuklah melibatkan sebarang pelantikan baharu kepimpinan tertinggi jabatan, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan.
Dalam tempoh terdekat ini juga, kerajaan dijangka akan mengumumkan keseluruhan barisan Kabinetnya. Dalam hal ini, pelabur bukan setakat memantau keadaan semasa dalam negara tetapi juga memantau situasi terkini luar negara sebelum mengambil sebarang keputusan pelaburan.
Walau apa pun reaksi pelabur, ekonomi Malaysia sebenarnya diakui memiliki asas yang baik dan kukuh. Oleh itu, tidak mustahil bahawa pasaran saham Malaysia akan kembali kukuh dan cergas untuk berada sebagai antara pasaran saham yang terbaik di peringkat global.
* PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Universiti Utara Malaysia (UUM).











