Tiga sindiket Macau Scam berjaya ditumpaskan  - Utusan Malaysia

Tiga sindiket Macau Scam berjaya ditumpaskan 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Polis Selangor menumpaskan tiga sindiket Macau Scam membabitkan kerugian lebih RM6.3 juta dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Petaling Jaya, Serdang dan Subang Jaya antara 3 Ogos hingga 12 Ogos lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, serbuan pertama dilakukan pada 3 Ogos lalu dengan menyasarkan sebuah kondominium di Damansara, Petaling Jaya yang disyaki menjadi ‘markas’ sindiket Macau Scam.

Katanya, dalam serbuan terbabit pihaknya telah menahan 23 orang warganegara China serta merampas 80 unit telefon bimbit, 20 unit komputer riba, router, broadband dan skrip dalam Bahasa Mandarin.

“Serbuan kedua pula telah kita lakukan pada 7 Ogos lalu di sebuah banglo di Sri Kembangan, Serdang Dalam serbuan ini kita turut menahan  23 orang warganegara China serta merampas 97 unit telefon bimbit, 15 unit komputer, buku dan nota.

“Kumpulan ketiga pula ditumpaskan dalam serbuan pada 12 Ogos lalu di sebuah hotel di Subang Jaya dengan penahanan dua lelaki membabitkan warga tempatan dan Taiwan. Beberapa barang seperti telefon bimbit, kad ATM, simkad turut dirampas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Selangor, Asisten Komisioner Harjinder Kaur Gurdial Singh.

Jelas Mazlan, modus operandi sindiket terbabit adalah menyamar sebagai call centre yang menyasarkan warga China sebagai mangsa dengan menggunakan aplikasi WeChat dalam bahasa Mandarin.

“Dengan tertumpasnya sindiket ini, kita berjaya menyelesaikan kira-kira 18 kes membabitkan penipuan Macau Scam dengan anggaran kerugian lebih RM6.3 juta,”ujarnya. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Mazlan menambah, berdasarkan statistik dari awal tahun ini sehingga 19 Ogos lalu, sebanyak 513 kes telah dilaporkan membabitkan kerugian hampir RM30 juta. 

Justeru, beliau mengingatkan orang ramai tidak terpedaya dengan panggilan telefon yang menyamar sebagai pegawai polis, kastam, imigresen atau agensi lain seperti pihak bank yang mengarahkan untuk membuat pemindahan wang. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN