Kembali ke Barcelona - Utusan Malaysia

Kembali ke Barcelona

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARCELONA 16 Ogos – Bintang Barcelona Lionel Messi berkata, kelabnya akan melakukan semampu yang boleh musim ini untuk me­nyambar trofi Liga Juara-Juara semula daripada musuh ketat, Real Madrid yang telah merangkulnya selama tiga tahun berturut-turut.

Jelas bintang Argentina itu, musim ini skuad Catalans ber­upaya merealisasikan impian Barcelona dengan adanya pemain baharu yang akan membantu mereka lebih baik dari sebelum ini.

“Musim lalu kami berada di tahap terbaik kerana kami memenangi kempen piala dan La Liga. Bagaimanapun kami gagal merangkul trofi Liga Juara-Juara, terutama gaya penyingkiran kami ketika itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami berbanji kepada anda pada tahun ini, kami akan memberikan segala yang termampu untuk memenangi seberapa ba­nyak gelaran termasuk membawa pulang trofi Liga Juara-Juara ke Camp Nou semula.

Pemain berusia 31 tahun itu akan mengambil alih lilitan kapten di Barcelona musim ini selepas legenda kelab Andres Inies­ta berhijrah ke Jepun.

“Kami pasti merindui pemain terhebat Andres tahun ini. Saya amat berbesar hati untuk menjadi kapten dan saya tahu apa maksudnya di kelab ini.

“Saya bernasib baik kerana saya mempunyai banyak contoh teladan daripada legenda kami seperti (Carles) Puyol, Xavi dan Andres (Iniesta),” kata Messi kepada penyokong Barcelona selepas menundukkan pasukan pelawat Boca Juniors 3-0 dalam aksi pramusim, hari ini.

Messi menjaringkan jaringan kedua dalam kemenangan Barcelona ke atas Boca Juniors untuk memenangi Trofi Joan Gamper, iaitu sebuah tradisi kejohanan pembuka tirai yang dinamakan sempena nama pengasas kelab tersebut.

Dalam perkembangan lain, Messi yang juga kapten skuad La Albiceleste disahkan terlepas dua aksi persahabatan di Amerika Syarikat (AS) bulan depan, kata sumber rapat Persa­tuan Bola Sepak Argentina (AFA) kepada Reuters hari ini.

Sumber tersebut, yang mengesahkan laporan me­dia Argentina berhubung situasi Messi semalam berkata, penyerang Barcelona itu bukan sahaja akan terlepas aksi menentang Guatemala dan Colombia, malah mungkin akan lebih.

“Kami tidak tahu apa yang akan berlaku selepas ini tetapi buat masa sekarang (Messi) memberitahu kakitangan kejurulatihan bahawa dia tidak akan menjadi sebahagian daripada skuad seterusnya,” kata sumber itu.

Sumber tersebut turut membe­ritahu, Messi masih bersedih de­ngan prestasi buruk Argentina ketika di Piala Dunia, di mana mereka tersingkir di peringkat 16 terakhir kepada juara kejohanan berkenaan, Perancis. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN