HULU SELANGOR – Seorang pesara polis maut manakala isterinya parah selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 16, Jalan Batang Kali – Ulu Yam, Hulu Selangor di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.40 pagi itu, mangsa, Mohd. Soueid A. Ghafar, 60, yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya, Siti Zarina Osman, 51, patah pada tiga tulang rusuk.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superitendan Lim Bak Phai berkata, kemalangan tersebut berlaku apabila sebuah kenderaan SUV Mazda BT50 yang datang dari arah bertentangan memasuki simpang secara cuai telah menyebabkan pelanggaran tersebut.
“Kemalangan berlaku semasa mangsa yang merupakan bekas anggota polis berpangkat Koperal menunggang motosikal bersama isterinya dari arah Batang Kali ke Ulu Yam.
“Setibanya di lokasi kejadian, sebuah SUV dipandu oleh seorang lelaki berusia 29 tahun yang datang dari arah bertentangan secara tiba-tiba membelok ke simpang menghala arah Tamu Hill tanpa memberi laluan kepada mangsa dan sekali gus mengakibatkan mangsa merempuh pada bahagian kiri kenderaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Tambah Bak Phai, isteri mangsa yang parah dihantar ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut manakala pemandu lori berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE











