Sebuah tapak pembinaan kondominium di Kampar diarah tutup serta-merta - Utusan Malaysia

Sebuah tapak pembinaan kondominium di Kampar diarah tutup serta-merta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPAR – Sebuah tapak pembinaan kondominium di Jalan Batu Karang, Bandar Baru Kampar di sini diarahkan menghentikan operasi pembinaan serta-merta selama dua minggu berkuat kuasa hari ini selepas didapati mempunyai empat tempat pembiakan nyamuk.

Ketua Inspektorat dan Perundangan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak, Ahmad Fakurazi Abu Bakar berkata, salah satu dari empat tempat pembiakan nyamuk tersebut didapati berbahaya kerana mempunyai banyak jentik-jentik di dalam air bertakung di kawasan pembinaan tiga blok kondominium 14 tingkat itu.

“Semua kerja pembinaan tidak boleh dijalankan pihak pemaju dalam tempoh dua minggu bermula hari ini sehingga 28 Ogos depan melainkan hanya kerja pembersihan dibenarkan. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sekiranya pemeriksaan lanjutan dalam tempoh tersebut tidak memuaskan, JKN akan memanjangkan tempoh penutupan tapak pembinaan sehingga semua arahan daripada pihak kami dipatuhi,” katanya ketika ditemui pemberita di tapak pembinaan itu di sini hari ini. 

Operasi yang diketuai Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Perak itu dijalankan secara bersama pelbagai agensi lain termasuk Jabatan Imigresen, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Suruhanjaya Tenaga, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Akademi Binaan Malaysia (ABM) dan Majlis Daerah Kampar.

Sementara itu, Pengarah CIDB Perak, Ismail Mat Nor berkata, pihaknya mengesan 121 pekerja di tapak pembinaan tersebut yang melakukan pelbagai kesalahan termasuk tidak mempunyai permit kerja, pasport dan Kad Pendaftaran Personel Binaan serta kad tamat tempoh.

“CIDB telah keluarkan notis selepas pemeriksaan terhadap enam jenis bahan binaan mendapati 11 barangan yang digunakan pihak pemaju tidak mematuhi PPS (Perakuan Pematuhan Standard).

“Beberapa notis lain kepada pemaju turut dikeluarkan dan pihak kami membuka lapan kertas siastaan berhubung operasi yang dijalankan pada hari ini,” katanya. 

Tambah Ismail, operasi itu dijalankan bukan untuk menghukum sebaliknya memberi kesedaran supaya setiap projek dijalankan pihak pemaju mematuhi peraturan dan undang-undang.

Dalam operasi itu juga, Jabatan Imigresen turut menahan 118 buruh warga asing yang bekerja di tapak pembinaan itu atas pelbagai kesalahan membabitkan permit kerja dan tinggal lebih masa. – K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN