KANGAR – Kecintaan Roshita Mat Hussin, 50, terhadap ternakan lebah kelulut menyebabkan wanita ini sanggup mengembara lebih 1,000 kilometer (km) dari kediamannya di Chuping, Padang Besar dekat sini demi mencari bongkah kayu serangga itu.
Usahawan berjiwa besar ini berkata, dia bersama keluarga dan pekerjanya pernah sampai di Temerloh, Bera dan Pekan di Pahang semata-mata untuk membeli sarang lebah kelulut.
“Kebiasaannya, saya keluar dari kediaman pada awal pagi dan kembali semula keesokkan pagi.
“Sarang lebah kelulut banyak terdapat di batang pokok durian, tembusu, cempedak, nangka, rambutan dan kelapa yang dimiliki penduduk kampung yang berdekatan kawasan hutan.
“Saya mula mengambil sarang serangga itu pada pukul 8 malam kerana koloni lebah kelulut hanya pulang sepenuhnya pada waktu itu,” katanya ketika ditemui di ladang ternakan lebah kelulut miliknya di Sungai Batu Pahat di sini hari ini.
Harga satu bongkah kayu sarang madu kelulut yang dibelinya bermula RM180 hingga RM250.
Jarak Chuping dengan Temerloh, Pahang kira-kira 608 km.
Ibu tunggal kepada dua cahaya mata itu mengusahakan ternakan bagi menjual hasil madunya menerusi syarikatnya, Ladang Lebah FF Harmoni Perlis sejak 2014.
Kini, dia mempunyai kira-kira 300 bongkah kayu yang mengandungi sarang lebah kelulut yang menghasilkan secara purata kira-kira 500 kilogram madu sebulan.
Harga madu kelulut sekilogram yang dijual syarikatnya adalah RM350.
Spesies lebah kelulut yang paling popular diternak di negara ini ialah Heterotrigona itama dan Geniotrigona thoracica. – K! ONLINE











