KUALA LUMPUR 4 Ogos – Syarikat pengendali pelancongan milik bumiputera, Wan Vacation Sdn. Bhd. (Wan Vacation) mahu menjadi peneraju dalam menawarkan pakej percutian muslim dengan ciri-ciri istimewa iaitu menekankan aspek kekeluargaan dan kekitaan di dalam perkhidmatan yang ditawarkan.
Dalam mencapai matlamat tersebut, Wan Vacation melalui portal selamatbercuti.com menawarkan lebih 30 pakej pelancongan dalam usaha memenuhi kehendak setiap pelanggan.
Bermula dengan hanya dua pakej pelancongan ke negara Eropah, syarikat tersebut terus mengembangkan perniagaannya apabila menawarkan pakej-pakej baharu meliputi destinasi-destinasi menarik di seluruh dunia.
Menurut Pengarah Urusannya, Syazwan Zanini, reputasi syarikat sebagai pengendali pakej pelancongan muslim 100 peratus halal, semakin meningkat apabila terus mendapat kepercayaan para pelanggan yang mahukan kelainan dalam setiap lawatan mereka ke luar negara.
“Sejak ditubuhkan pada 2010, Wan Vacation yang beribu pejabat di Taman Connaught, Cheras di sini bermula dengan hanya lapan orang kakitangan.
“Alhamdulillah, kini bilangan kakitangan bertambah kepada 23 orang dan syarikat juga semakin berkembang seiring dengan perkhidmatan yang ditawarkan,” katanya kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui di pejabatnya di sini baru-baru ini.
Dalam memastikan setiap perkhidmatan ditawarkan adalah yang terbaik, Syazwan berkata, syarikatnya sentiasa menerapkan budaya kesederhanaan untuk memastikan para pelanggan sentiasa mendapat pengalaman menarik di sepanjang percutian mereka.
“Kami sentiasa memastikan di sepanjang percutian, aspek seperti penyediaan makan minum adalah halal sepenuhnya. Kami turut menekankan penjagaan waktu solat.
“Selain itu, pemandu pelancong yang disediakan termasuk di negara bukan Islam, turut diberikan ilmu pengetahuan mengenai Islam. Ini bagi memastikan mereka dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada bakal-bakal pelancong,” jelasnya.
Menurut Syazwan, sehingga kini, Wan Vacation telah menerbangkan pelanggan-pelanggannya hampir ke seluruh dunia termasuk destinasi ‘terhangat’ iaitu Sepanyol, Turki, Morocco, Eropah Timur dan Portugal.
“Lebih istimewa, kami juga menawarkan pakej pelancongan unik iaitu ke lokasi-lokasi menarik di Rusia dan negara Scandinavia serta negeri-negeri di pantai barat Amerika Syarikat seperti Los Angeles dan San Francisco,” katanya.











