Aaliah cemerlang ke final remaja dunia - Utusan Malaysia

Aaliah cemerlang ke final remaja dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 4 Ogos – Bintang ski air Malaysia, Aaliyah Yoong Hanifah menempa nama di pentas dunia apabila mara ke final acara trick pada Kejohanan Ski Air Remaja Dunia 2018 di Madrid, Sepanyol hari ini.

Atlet berusia 15 tahun itu menduduki tangga kelima dalam pusingan awal selepas mengumpul 6,020 mata daripada tiga percubaan.

Peserta Kanada, Neily Ross mengetuai pusingan kelayakan dengan 8,290 mata, diikuti atlet Amerika Syarikat, Kennedy Hansen (7,490 mata). Tayla Simmonds dari Australia di tangga ketiga (6,190 mata) dan Alena Parkhomenka dari Belarus di kedudukan keempat dengan 6,090 mata.

Memuatkan artikel berkaitan…

Aaliyah, bagaimanapun gagal melayakkan diri ke pentas akhir dalam dua lagi acara – jump dan slalom walaupun berjaya memperbaiki pencapaian terbaik peribadi.

Dia melakukan catatan sejauh 35.9 meter dalam acara jump, sekali gus memadam catatan terbaiknya sebelum ini 34.8m, sekali gus memahat rekod baharu kebangsaan dan rekod baharu Bawah 17 Tahun Asia.

Aaliyah terlepas peluang berada dalam kelompok 12 teratas untuk mara ke final selepas menduduki tempat ke-13 dalam acara jump.

Dia turut mempamerkan aksi cemerlang dalam acara slalom dengan mencatat 3.0/55/12 mata untuk berkongsi kedudukan ke-13 bersama Sierra Nowlan dari Australia, dan mencatat rekod Asia yang sebelum ini dipegang atlet Korea Selatan, Han Ah-reum dengan 1.0/55/12 mata pada 2014.

Ketua jurulatih Persekutuan Ski Air dan Wakeboard Malaysia (MWWF), Hanifah Yoong memuji pencapaian hebat Aaliyah pada kejohanan tersebut.

“Aaliyah mula menunjukkan dia bakal menjadi atlet kelas dunia dalam acara jump di samping kategori trick yang menjadi acara kegemarannya.

“Saya pasti dapat melihat dia melonjak ke kedudukan keempat dalam ranking dunia acara jump sebelum Kejohanan Remaja Dunia 2020, yang mana dia masih layak bersaing ketika itu,” kata Hanifah, yang juga bapa Aaliyah.

Selain Aaliyah, dua lagi adiknya – Aiden, 12, dan Adam, 10, juga menampilkan prestasi membanggakan dalam acara trick lelaki.

Aiden menamatkan cabaran di kedudukan ke-25 keseluruhan selepas meraih 3,520 mata manakala Adam yang memegang rekod kebangsaan dan pemenang pingat emas Sukan SEA 2017, menduduki tempat ke-17 dengan 4,410 mata.

“Adam tidak terlalu kecewa kerana gagal layak ke final kerana beliau masih boleh bersaing dalam tiga lagi Kejohanan Remaja Dunia, dan beliau kini antara 20 terbaik di dunia,” kata Hanifah. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini