KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) (Strategi) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tunku Alizakri Alias dilantik sebagai CEO baharu berkuat kuasa pada 20 Ogos ini.
Lembaga KWSP mengumumkan pelantikan Tunku Alizakri itu hari ini yang menggantikan Datuk Shahril Ridza Ridzuan telah dilantik sebagai Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd.
Menurut satu kenyataan akhbar, Lembaga KWSP telah mendapat persetujuan Kementerian Kewangan berhubung pelantikan tersebut.
Pengerusi KWSP, Tan Sri Samsudin Osman berkata, pelantikan CEO baharu itu akan memastikan kesinambungan prestasi KWSP dan memberi jaminan kepada anggotanya bahawa KWSP akan terus beroperasi dengan baik dalam melaksanakan mandatnya.
“Kami berbesar hati dengan pelantikan dalaman ini kerana ia mengesahkan pelan peralihan yang kukuh yang membolehkan Menteri Kewangan memilih calon dalaman yang sesuai,” katanya dalam kenyataan itu.
Beliau berkata, pemilihan Tunku Alizakri sebagai CEO akan terus membantu dalam mengetengahkan agenda kesejahteraan sosial untuk negara.
Menurut kenyataan itu, Tunku Alizakri mula berkhidmat di KWSP pada 1 Januari 2014 sebagai Timbalan CEO (Strategi) dengan bertanggungjawab ke atas polisi perlindungan sosial nasional serta pembangunan perkhidmatan dan produk KWSP.
Selain itu, beliau juga bertanggungjawab ke atas strategi dan hal ehwal korporat, modal insan selain pembangunan bakat.
Tunku Alizakri juga ialah Ahli Jawatankuasa Pelaburan Pengurusan KWSP yang bertanggungjawab memastikan semua cadangan pelaburan mematuhi tadbir urus dan kawalan risiko KWSP.
Beliau pernah berkhidmat dengan Bank Negara, Pusat Kepimpinan dan Tadbir Urus ICLIF, DiGi Telecommunications, Maybank dan Sime Darby.
Tunku Alizakri memiliki Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Universiti Cornell dan Sarjana Muda Undang-undang dari King’s College, Universiti London.
Beliau pernah menjadi peguam bela dan peguam cara di Mahkamah Malaya dan diiktiraf sebagai Peguam (Lincoln’s Inn) di Mahkamah England dan Wales. – Bernama











