MACHANG 4 Ogos – Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin menafikan pemilihan parti kali ini menyebabkan ahli parti berpuak-puak sehinggal timbul perpecahan dalaman.
Menurut beliau, persaingan berlaku kali ini disifatkan sebagai sihat namun terdapat usaha pihak tertentu yang berniat jahat mahu melaga-lagakan kepimpinan parti itu dengan cara menyebar fitnah dan provokasi.
“Bila berlaku pertandingan semestinya akan ada beberapa pihak yang bertanding, namun ianya tidak sampai menimbulkan puak-puak tertentu seperti yang didakwa.
“Tak ada isu dua puak iaitu Tun Dr. Mahathir (Mohamad) atau Datuk Seri Anwar (Ibrahim). Isu ini tidak timbul kerana kita sama-sama mengangkat dan memberikan sokongan yang padu kepada kepemimpinan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Industri Utama berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Pekebun Kecil di Kampung Pek, di sini hari ini.
Beliau mengulas khabar angin kononnya PKR kini berpecah kepada dua puak iaitu kumpulan penyokong tegar Anwar dan kumpulan penyokong Dr. Mahathir manakala pemilihan kali ini bakal menyaksikan dua kumpulan tersebut bertembung.
Dalam pada itu, Shamsul Iskandar berkata, antara usaha dilakukan musuh politik PKR ialah memfitnah Anwar dengan cara meniru suaranya dan mewujudkan provokasi.
“Macam-macam cara digunakan pihak yang tak bertanggungjawab untuk melaga-lagakan kepimpinan parti termasuk meniru suara bagi menimbulkan kemarahan sesetengah pihak.
“Sepanjang kempen pemilihan nanti, saya harap semua pihak yang bertanding dapat bersaing secara sihat dan mengamalkan politik bersih, ” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











