Mati akibat hentakan kuat - Utusan Malaysia

Mati akibat hentakan kuat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIBU 4 Ogos – Polis mengesahkan punca kematian wanita yang ditemukan mati dipercayai dibunuh ekoran hentakan kuat menggunakan objek tumpul di sebuah rumah sewa di Jalan Tiong Hua di sini Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, hentakan tersebut membuatkan penjawat awam berusia 26 tahun itu mengalami pendarahan pada otak.

Katanya, punca kematian itu diketahui selepas pihaknya menerima laporan bedah siasat yang dijalankan di Hospital Sibu hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mangsa mengalami kesan retak pada bahagian tengkorak disamping mendapati terdapat banyak kesan lebam pada muka, kepala dan leher.

“Ketika ini, kita masih mencari seorang lelaki bernama Philip Uja, 40-an bagi membantu siasatan kes ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Lelaki itu dipercayai boleh membantu menyelesaikan kes pembunuhan itu berikutan dilihat berada di kawasan rumah sewa mangsa pada malam sebelum mangsa ditemukan mati.

Bagaimanapun, polis belum mendapat gambaran jelas mengenai hubungan lelaki itu namun rakan-rakan mangsa memberitahu mangsa menyatakan lelaki itu pernah berjumpanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kes itu masih disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×