Tujuh penunggang motosikal diberkas dalam Op Samseng Jalanan - Utusan Malaysia

Tujuh penunggang motosikal diberkas dalam Op Samseng Jalanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBERANG PERAI – Seramai tujuh penunggang motosikal ditahan dalam operasi Op Samseng Jalanan yang diadakan di dua lokasi berasingan di daerah Seberang Perai Utara dan Barat Daya di sini awal pagi tadi.

Kesemua penunggang motosikal berusia antara 18 hingga 22 tahun itu diberkas selepas didapati menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya di jalan raya.

Di Seberang Perai Utara, seramai empat penunggang motosikal ditahan di Lingkaran Luar Butterworth (BORR) seawal pukul 12.30 tengah malam manakala di Barat Daya, seramai tiga lelaki ditahan di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Choong Eu dalam operasi pada pukul 1 pagi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, hasil risikan pihaknya mendapati empat penunggang motosikal tersebut telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Daripada keempat-empat tangkapan tersebut, hanya seorang penunggang motosikal didapati positif dadah jenis amphetamine dan suspek sama juga terlibat kes pemalsuan dokumen nombor pendaftaran kenderaan di bawah Sek 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kesemua tangkapan telah ditahan reman sehingga 6 Ogos ini di Lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini sebentar tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A. A. Anbalagan pula memberitahu, pihaknya telah mendapat perintah tahanan reman ke atas tiga penunggang motosikal terbabit selama tiga hari sehingga Ahad ini. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×