Pemilik restoran Raj's Banana Leaf didenda RM5,000 - Utusan Malaysia

Pemilik restoran Raj’s Banana Leaf didenda RM5,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 3 Ogos – Sebuah syarikat swasta yang merupakan pemilik restoran Raj’s Banana Leaf di Bangsar dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan gagal melaporkan butir-butir penggajian dua pekerja asing yang bekerja di restoran tersebut, Januari lalu.

Majistret Wong Chai Sia menjatuhkan hukuman denda RM5,000 terhadap Intercompass Sdn. Bhd. setelah pengarah syarikat, Muhamad Rizal Abd. Rahman, 40, selaku orang kena saman (OKS) mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan tersebut.

Mahkamah turut memerintahkan waran levi dikeluarkan sekiranya OKS gagal membayar denda itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua,  syarikat itu didakwa sebagai majikan kepada C. Suresh dan K. Rajalingam yang kedua-duanya warga India berusia 30 tahun telah gagal melaporkan butir-butir tentang penggajian pekerja asing di pejabat Jabatan Tenaga Kerja (JTK) yang terdekat dalam tempoh 14 hari setelah pengambilan mereka.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat JTK, Tingkat 9, Menara Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Jalan Ampang di sini pada pukul 11 pagi, 22 Januari lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Mohd. Dzahiruddin Mat Salleh@Ismail dari JTK Wilayah Persekutuan mengikut Seksyen 60K(1) Akta Kerja 1955 dan majikan boleh dihukum dibawah Seksyen 60K(5) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000, jika sabit kesalahan.

Pada 30 Mei lalu, Kementerian Kesihatan mengarahkan sebuah restoran daun pisang di Kuala Lumpur ditutup serta-merta setelah pemeriksaan dilakukan oleh Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan di premis berkenaan berikutan rakaman video mengenai pekerja restoran tersebut membasuh pinggan menggunakan air takungan lopak di belakang restoran itu tular dalam media sosial.

Rakaman video berdurasi 30 saat mendapat kritikan pelbagai pihak yang menyifatkan ia perbuatan keji dan menjijikkan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×