KUALA LUMPUR 2 OGOS – Akibat terlanjur kata menyamakan persatuan belia dengan ‘macai politik’, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq menerima kritikan bertalu-talu daripada ahli Parlimen lain dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Malah, isu tersebut juga turut mencetuskan keresahan dan kemarahan segenap persatuan mahu pun pertubuhan di seluruh negara.
Dalam pada itu, Majlis Belia Negeri Johor turut mengeluarkan satu kenyataan bertulis berhubung perkara itu.
Berikut adalah kenyataan penuh daripada Majlis Belia Negeri Johor:
1. Sejarah pergerakan belia di Malaysia amat panjang. Seawal tahun 1948 semenjak Majlis Belia Malaysia ditubuhkan. 70 tahun usianya. Jauh lebih tua dari Menteri Belia dan Sukan sekarang yang tak sampai 100 hari pun bertugas.
2. Menteri yang bagus bukan hanya perlu tahu, tapi perlu ada sikap ambil tahu. Membaca membolehkan Menteri jadi tahu. Jika tak sempat membaca, bertanyalah. Tanyalah kepada ahlinya. Ahli belia. Orang belia. Mantan belia pun boleh. Jangan pula ditanya kepada pengampu (baca macai) politik Menteri.
3. Saudara Anwar Ibrahim dan Saifuddin Abdullah (dahulunya). Rujuklah dengan mereka. Kalaulah Menteri tak bersedia berbual dengan tokoh-tokoh mantan Presiden Majlis Belia Malaysia yang lain.
4. Istilah macai tiada dalam Kamus Dewan. Tiada juga dicarian Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM). Tak dijumpai juga dalam pengkalan data Dewan Bahasa dan Pustaka. Menteri mengajar kita benda yang tak betul. Ia tak boleh dituruti.
5. Macai kalau ikut kefahaman awam yang tiada rujukan ini, difahamkan kepada kita sebagai pentaksub. Taksub membabi dan membuta. Tanpa kewarasan. Tiada justifikasi. Bahkan langsung tidak rasional. Malas mengkaji. Dijadikan bodoh kanan dan kiri.
6. Politik pula dapat diertikan sebagai satu kegiatan ummah menyokong dan mendokong usaha melaksanakan syariat untuk merealisasikan Islam yang syumul yang dapat dipraktikkan melalui sebuah institusi yang menjadi penerajunya (rujuk Umat dan Negara dalam Syariat Islam karangan Dr Abdul Karim Zaidan).
7. Melabelkan secara terus Belia Four B (sepatutnya disebut Belia Empat B (4B) (Menteri pun belum tau sebut), Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) sebagai macai politik semata-mata kerana menyokong dasar-dasar baik kerajaan terdahulu, adalah pelebalan taraf rendah. Bahkan teramat rendah sekali.
8. Sudahkah ditanya rasional sokongan mereka pada sesuatu dasar itu sewaktu itu. Berdalihkan dengan kononnya Menteri sendiri dimaklumkan empat tahun dulu bahawa Menteri diberitahu sebab sokongan mereka kepada GST disebabkan diupah RM5juta oleh Perdana Menteri terdahulu, amatlah meragukan. Malah memang diragui dan tak dapat dipercayai.
9. Tahukah Menteri bahawa MBM (sebagai contoh) ada Mesyuarat Dewan Tertingginya yang berbincang secara tuntas sebelum sebarang keputusan besar dibuat. Rasanya Menteri tak tahu.
10. Tahukah Menteri bahawa MBM punyai badan-badan gabungan berbilang bangsa dan ada juga gabungan berdasarkan fahaman agama? Mereka semua ada pegangan politik tersendiri. Memang Menteri tak tahu kan.
11. Melabelkan MBM sebagai badan induk belia Malaysia yang terbesar sebagai macai politik, samalah seperti melabelkan setiap satu dan semua gabungan MBM itu sebagai macai.
12. Jika Menteri mahukan pergerakan belia seMalaysia menjadi pendesak terkuat di dalam negara ini, In Sha Allah hasrat Menteri akan sama-sama ditunaikan.
13. Majlis Belia Negeri Johor telah pun menjadi pendesak yang berakal sejak dulu lagi. Cuma kali ini kami akan lebih bernada mendesak, sebab itu yang Menteri nak. Kami juga akan menyokong setiap usaha yang kebaikannya sampai kepada ahli belia khususnya, untuk masyarakat amnya.
14. Minta maaflah Menteri kepada pergerakan belia secara keseluruhannya kerana telah memacaikan jurang yang Menteri sendiri tebuk. Tariklah balik ayat itu.
Kenyataan itu ditulis Timbalan Presiden yang menjalankan tugas Presiden, Mohd. Fared Mohd. Khalid.











