SHAH ALAM 2 Ogos – Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Prof. Dr. Shaharuddin Badaruddin (gambar) meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Putrajaya hari ini.
Video oleh KAMIL MASLIH
Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Borhan Aman Shah berkata, Shaharuddin, 56, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia menghembuskan nafas terakhir pada jam 6.28 petang ini.
Menurutnya, jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke rumahnya di Desa Pinggiran Putra dan akan disembahyangkan pagi esok di Masjid Kampung Limau Manis.
“Jenazah kemudian akan disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Limau Manis.
“Ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham. Saya berdoa semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan golongan yang soleh. Al-fatihah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Isnin lalu, Shaharuddin yang dipercayai menghidap kanser kolon dilaporkan tenat tetapi berita itu nafikan keluarganya.
Kelmarin, Pejabat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor turut mengeluarkan kenyataan yang menyatakan Shaharuddin hanya berehat selama sebulan selepas menjalani rawatan.
Shaharuddin adalah bekas Timbalan Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel) dan Ahli Lembaga Pengarah Institut Darul Ehsan (IDE).
Beliau dilantik menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor selepas memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Seri Setia pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).











