Syed Saddiq hina belia? - Utusan Malaysia

Syed Saddiq hina belia?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 2 Ogos – Gara-gara terlanjur kata menyamakan persatuan belia dengan ‘macai politik’, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ‘kepanasan’ apabila diasak de­ngan soalan bertalu-talu daripada ahli-ahli Parlimen dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Malah, penyokong kerajaan, Hassan Abdul Karim (PKR-Pasir Gudang) turut mengkritik kenyataan Syed Saddiq yang dianggap menghina persatuan belia seperti Gabu­ngan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Gerakan Belia 4B.

Hassan ketika bangkit men­celah penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong oleh Syed Saddiq bagi kementeriannya turut menyifatkan gelaran itu tidak wajar diucapkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Adakah patut persatuan belia yang banyak berjasa seperti Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Gerakan Belia 4B yang perjuangkan dasar bahasa Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan sebagainya, hari ini digelar macai. Saya tidak setuju,” katanya.

Sementara itu, Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) yang turut mencelah sesi penggulungan tersebut meminta Syed Saddiq memberikan definisi sebenar ‘macai politik’ dan me­minta penjelasan sama ada para belia perlu menurut agenda kerajaan atau tidak.

Terdahulu, Syed Saddiq yang juga Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menjelaskan, ‘macai politik’ yang dimaksudkannya adalah golongan belia yang memegang jawatan tertinggi dalam parti politik.

Menurut beliau, secara idealnya kementerian mahu memastikan kepemimpinan tertinggi persatuan belia di negara ini tidak memegang jawatan dalam parti politik.

“Kita akan adakan satu perbincangan rapi dengan kumpulan-kumpulan belia ini agar mereka melakukan transisi untuk bebas mengkritik kerajaan dan pembangkang,” ujarnya.

Syed Saddiq memberitahu, tindakan merombak dan mem­bersih­kan persatuan-persatuan belia adalah merupakan satu da­ripada tujuh pelan pembaharuan Kementerian Belia dan Sukan.

“Kita ingin pastikan persatuan-persatuan ini bebas daripada pengaruh politik dan kembalikan kuasa mereka sebagai kuasa pendesak belia yang terkuat dalam menuju Malaysia Baharu.

“Kalau lihat Belia 4B, GPMS, Majlis Belia Malaysia dan banyak lagi, mereka terpaksa mengikut kerajaan sampai ke tahap boleh jadi ‘macai politik’,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×