GLASGOW – Ketua jurulatih Celtic, Brendan Rodgers akan mengambil pendekatan ‘agresif’ menjelang aksi pusingan kelayakan ketiga menentang AEK Athens di Celtic Park, Selasa depan dalam usaha mencerahkan peluang ke pentas Liga Juara-Juara musim ini.
Celtic mara ke pusingan tersebut selepas berjaya mencatatkan kemenangan 3-1 secara agregat ke atas wakil Norway, Rosenborg BK pada pusingan kelayakan kedua awal pagi semalam.
Bagaimanapun, Rodgers, 45, tidak pasti cabaran bakal menanti anak-anak buahnya menjelang pertemuan dengan AEK yang merupakan juara Greece, apatah lagi dijadualkan beraksi di laman pihak lawan, Stadium Olimpik Athens terlebih dahulu.
“Saya cuma mengetahui satu perkara mengenai AEK iaitu kesemua 11 pemain mereka ialah manusia, sama seperti kami.
“Saya percaya ia bukan satu tugas mudah kerana kami lebih selesa beraksi di laman sendiri pada aksi pertama sebelum bertandang ke tempat lawan untuk perlawanan timbal balik.
“Saya berharap kami dapat mengulangi kejayaan menewaskan Rosenborg dengan membawa pulang keputusan selesa pada aksi pertama nanti,” katanya.
Pada masa sama, bekas pengendali Liverpool itu mengakui perlu memperbaiki kelemahan utama dari segi ketepatan hantaran jika mahu menewaskan AEK untuk mengesahkan tempat ke playoff Liga Juara-Juara. – Agensi











