MILAN – Sime Vrsajlko mengakui kini dia gembira apabila dapat kembali bergandingan bersama Ivan Perisic, Marcelo Brozovic dan Matteo Politano selepas pemain Atletico Madrid itu dipinjamkan untuk beraksi di Serie A bersama Inter Milan musim depan.
Pemain pertahanan tersebut yang juga merupakan sebahagian daripada skuad Croatia yang mara ke pentas final Piala Dunia Rusia bersama Perisic serta Brozovic dan dia juga pernah bergandingan dengan Politano ketika bermain di Sasuolo pada musim 2015-2016.
“Saya sangat gembira apabila dapat beraksi bersama pasukan yang hebat pada Serie A.
“Kini saya telah bersedia untuk menimba pengalaman baru bersama Inter di Itali selepas sebelum ini pernah bermain untuk Genoa dan Sassuolo.
“Malah, saya juga telah bersedia untuk cabaran baru di sini dan percaya Inter mampu menjadi pencabar utama saingan musim hadapan.
“Saya pernah berbual bersama Perisic dan Brozovic sebelum ini tentang Inter, namun ia adalah keputusan saya sendiri untuk kembali beraksi di Serie A.
“Sementara itu, Politano juga turut berasa gembira selepas kami dapat kembali beraksi bersama setelah kali terakhir kami bergandingan di Sassuolo.
“Kami akan memberikan 120 peratus persembahan yang terbaik kerana musim ini Inter bakal berentap pada Liga Juara-Juara dan ia adalah satu saingan yang sangat penting kepada penyokong,” kata Vrsajlko. – Agensi











