Metafora kopi dalam siri original Tonton - Utusan Malaysia

Metafora kopi dalam siri original Tonton

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mengambil adaptasi daripada koleksi kisah berkenaan minuman kopi dalam novel Fixi popular tempatan berjudul Kopi, laman penstriman video Tonton bakal menyajikan penggunanya dengan siri original dengan judul sama tidak lama lagi.

Mengandungi 13 kisah berbeza berkenaan kopi, siri berkenaan menampilkan pengarah terkemuka, Megat Sharizal Mohamed Yusof bersama tiga orang pengarah muda iaitu Mohd. Faliq Mohd. Sharif, Abd. Aliff Ihsan Abd. Rahman dan Ahmad Safuan Abd. Rashid.

Menurut pengurus produksi Kopi, Wan Mohd. Zulfakhri Wan Mohd Aminudin, sebagai kelainan, siri Kopi tersebut melibatkan tenaga kerja yang berbeza untuk semua episod dengan tajuk berlainan penceritaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Telah menghabiskan tempoh penggambaran selama 13 hari bagi 13 episod pada 19 Julai lalu, Zulfakhri memberitahu, meskipun siri berkenaan berkonsepkan cerita pendek, namun ia bakal mendatangkan kesan kepada penonton terutama bagi penggemar kopi.

“Banyak kisah tersirat di sebalik minuman ini yang diceritakan dalam Kopi yang berkait rapat dengan kehidupan harian kita. Ada antaranya bersifat mistik dan juga momen lucu yang mungkin pernah terjadi kepada peminat tegar kopi.

“Pihak kami beruntung kerana berjaya mengumpulkan ramai barisan pelakon hebat dan profesional dalam menjayakan siri original ini. Ia berjalan lancar biarpun setiap hari, kumpulan tenaga kerja yang terlibat berbeza-beza,” katanya ketika ditemui di set penggambaran salah sebuah episod Kopi bertajuk Kopi Julia di Elmina Garden, Shah Alam, baru-baru ini.

Unik

Sementara itu, salah seorang pelakon Kopi Julia, Jasmin Hamid memberitahu, dia tertarik untuk menerima watak Julia, seorang wanita yang membunuh dan menggunakan mayat manusia sebagai baja kopinya adalah kerana jalan cerita yang lain daripada lain.

Memandangkan durasi masa yang diperuntukkan bagi setiap episod hanya 10 minit, maka mesej yang disampaikan tidak melarat dan terus kepada penonton tanpa sebarang lencongan.

“Penonton akan memahami jalan cerita dengan lebih cepat dan tidak hanyut bersama elemen-elemen lain apabila menonton kisah-kisah dalam siri Kopi kerana ia karya yang ringkas dan padat.

“Ia sebuah idea yang unik dan saya gembira kerana terpilih menjadi antara barisan pelakon bagi salah satu daripada episod siri Kopi ini,” katanya yang menjayakan Kopi Julia bersama bintang muda iaitu Hafidz Roshdi dan Hafreez Adam.

Bagi Hafidz pula, peluang berlakon dengan bintang senior seperti Jasmin adalah suatu pengalaman berharga dan dia bersyukur kerana aktres itu banyak memberikannya tunjuk ajar sepanjang di set penggambaran.

“Seronok berlakon dengan Kak Min (Jasmin) kerana dia sangat profesional dan tegas bertempat. Dia banyak menegur jika ada teknik lakonan saya yang tidak kena dan banyak ilmu yang saya belajar daripadanya,”ujarnya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×