KUALA LUMPUR 2 Ogos – Kerajaan tidak melarang mana-mana individu mahupun pihak untuk membaca akhbar Utusan Malaysia.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, meskipun langganan diberhentikan namun tiada larangan dikenakan terhadap individu yang mahu membaca akhbar tersebut.
“Langganan diberhentikan tetapi kita tidak melarang kalau orang nak baca.. baca bacalah.
“Nak beli satu ini (surat khabar) yang selalu hentam kita, kita tidak perlu membeli akhbar itu tetapi jika orang mahu baca sama ada dalam sekolah atau luar sekolah, mereka bebas untuk berbuat demikian.
“Kita tidak melarang, kita bukan mahu tangkap, koyak atau bakar dan sebagainya, tidak ada,” katanya kepada pemberita di Parlimen, hari ini.
Beliau mengulas tentang isu surat yang ditandatangani Penasihat Khas kepada Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik iaitu Wan Saiful Wan Jan yang mengarahkan langganan akhbar Utusan Malaysia bagi semua bahagian agensi, sekolah, universiti, kolej dan semua institusi di bawah Kementerian Pendidikan dibatalkan serta-merta.
Memo bertarikh 18 Julai itu ditujukan kepada Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohd. Gazali Abas. – UTUSAN ONLINE











