PETALING JAYA 2 Ogos – Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan menganjurkan Pertandingan Nasyid Terbuka PJ 2018 (Nafest) bertujuan mencungkil bakat kumpulan nasyid amatur selain melahirkan kecintaan terhadap irama nasyid dalam kalangan peserta.
Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd. Azizi Mohd. Zain berkata, pertandingan itu akan bermula di peringkat saringan pada 4 dan 5 Ogos ini dan di peringkat akhir pula dijadualkan pada 11 Ogos di Dewan Sivik MBPJ.
“Juara pertandingan akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM3,000 beserta trofi dan sijil manakala di tempat kedua dan ketiga masing-masing menawarkan wang tunai RM2,000 dan RM1,000 beserta trofi dan sijil.
“Peserta Nafest juga berpeluang memenangi kategori muzik terbaik, persembahan terbaik, vokal terbaik dan kostum terbaik. Setiap kategori menawarkan wang tunai RM500 beserta trofi dan sijil,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Mohd. Azizi, pihaknya menyasarkan sebanyak 100 penyertaan dalam kalangan pelajar sekolah, penuntut universiti dan komuniti dalam pertandingan itu yang mana tarikh tutup penyertaan adalah pada 4 Ogos ini.
“Bagi mereka yang berminat untuk menyertai Nafest boleh menghubungi Bahagian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan MBPJ di talian 03-77810178 atau muat turun borang penyertaan di lama sesawang www.mbpj.gov.my. – UTUSAN ONLINE











