KUALA LUMPUR 1 Ogos – Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Yusoff Mahadi meluahkan rasa kecewa dan kesal kerana masih wujud kelab di Malaysia yang enggan melepaskan pemain mereka menyertai pasukan kebangsaan.
![]() |
|
YUSOFF MAHADI
|
Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) berkeras untuk tidak melepaskan dua tonggak mereka iaitu Matthew Davies dan Nor Azam Azih untuk menyertai kem latihan skuad bawah 23 negara yang bakal bermain dalam Sukan Asia 2018 Indonesia dengan memberi alasan Pahang memerlukan dua pemain itu untuk mengharungi pertandingan Piala Malaysia.
Matthew dan Nor Azam adalah antara pemain yang membantu skuad negara mencipta kejutan mara ke suku akhir kejohanan B-23 AFC di China Januari lalu dan kehilangan mereka jelas menjadi tamparan kepada pasukan bimbingan Datuk Ong Kim Swee.
Yusoff yang juga Pengurus pasukan bawah 23 negara mengakui ketiadaan Matthew dan Nor Azam bersama pasukan dibimbing Datuk Ong Kim Swee bukan sahaja dirasai oleh skuad kebangsaan tetapi seluruh peminat bola sepak negara.
“Dua pemain ini adalah tulang belakang kita ketika di China. Sudah tentu dengan ketiadaan pemain ini mencacatkan sedikit percaturan jurulatih.
“Saya fikir episod tidak melepaskan pemain ini sudah berakhir tetapi masih ada pasukan yang tidak melepaskan pemain untuk beraksi (dengan skuad) nasional. Ini bukan kekecewaan saya sebagai pengurus tetapi kekecewaan ini dikongsi dengan semua penyokong bola sepak yang menaruh harapan kepada pasukan ini, sudah tunjuk bukti mampu beraksi di China.
“Kita tentu sekali mengharapkan bola sepak negara mampu bermain dengan baik dalam Sukan Asia 2018 tetapi dua pemain ini pula tidak dapat bersama,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sesi latihan skuad bawah 23 di Wisma FAM, Kelana Jaya hari ini.
Mengulas lanjut, walaupun alasan kejohanan Sukan Asia 2018 berada di luar kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Yusoff menegaskan sudah tiba masanya kelab tempatan berkorban demi pasukan kebangsaan.
“Kita sudah selalu dengar alasan seperti ini, bukan dalam kalendar FIFA, tak wajib hantar tetapi sekarang ini kita kena fikir kepentingan pemain-pemain ini. Inilah wajah pasukan kebangsaan akan datang, kalau di peringkat umur ini sudah susah nak lepaskan, macam mana esok nak dapat dalam skuad kebangsaan.
“Kita kena mula dari sekarang, macam mana nak bangunkan pemain, nak bangunkan pasukan kebangsaan dan bila pasukan kebangsaan main tak betul, kita salahkan pasukan kebangsaan, kita salahkan pemain sedangkan kita sendiri tidak beri ruang kepada pemain di peringkat sepatutnya ini,” tegasnya.












