LONDON 1 Ogos – Penjaga gol termahal dalam sejarah bola sepak dunia Alisson mengakui semakin selesa bersama Liverpool.
Penjaga gol Brazil itu menyertai The Reds daripada Roma dengan nilai perpindahan 67 juta pound (RM355.5 juta).
Liverpool dilihat bergelut untuk mendapatkan aksi cemerlang dalam persaingan musim lalu selepas kedua-dua penjaga gawang mereka iaitu Loris Karius dan Simon Mignolet kerap melakukan kesilapan.
Mereka akhirnya berusaha mengatasi masalah itu dengan membawa masuk Alisson, penjaga gawang berkelas dunia.
“Keadaan di sini sangat menyenangkan.
“Saya semakin selesa di sini terutama selepas beberapa hari berehat bersama keluarga, tetapi kami semua tidak sabar untuk memulakan musim baharu.
“Walaupun masih baharu di sini tetapi saya rasa seperti berada di tempat asal,” kata Alisson.
Rakan senegara Alisson, Roberto Firmino dilaporkan sudah mula menjalani latihan dan kedua-dua pemain itu akan mengambil bahagian dalam baki perlawanan pra-musim menentang Napoli dan Torino.
“Walaupun dua minggu ini nampak singkat, namun mencukupi untuk persediaan perlawanan pertama menentang West Ham.
“Kami akan bermain dua perlawanan persahabatan sebelum perlawanan sebenar dan saya yakin, kerja keras pasukan akan membantu saya untuk segera menyesuaikan diri dan saya yakin 100 peratus, saya sudah bersedia untuk Liga Perdana Inggeris.
“Tanggapan pertama saya ialah, perlawanan di sini tidak begitu sukar kerana pasukan ini memiliki pemain hebat dan profesional. Saya yakin musim ini akan menjadi yang terbaik,” kata penjaga gol Brazil itu.
Kehadiran penjaga gawang terbaik selain pertahanan yang ampuh dengan kehadiran Virgil van Dijk dan jentera serangan tiga serangkai Firmino-Sadio Mane-Mohamed Salah, Liverpool dilihat mampu menjadi pencabar utama dalam musim akan datang. – AGENSI











