KUALA LUMPUR 1 Ogos – Bukan sahaja membunuh orang awam dan pasukan keselamatan, komunis juga sanggup bertindak kejam dengan membunuh rakan sepasukan mereka sendiri jika ada yang didapati berpaling tadah.
![]() |
|
IESA ATAN
|
Bekas anggota Pasukan F, Cawangan Khas E3 (M) Bukit Aman, Iesa Atan berkata, mereka hanya tahu membunuh sesiapa sahaja yang tidak memberi sokongan terhadap komunis.
“Rakyat pada waktu itu ketakutan sebab komunis hanya tahu ugut dan bunuh. Sedangkan rakan sendiri pun dia sanggup bunuh, apatah lagi rakyat biasa.
“Cara mereka sudah salah, jadi buat apa kita nak sokong atau beri pengiktirafan pada mereka ini?” jelasnya yang berpangkat Sarjan Detektif sebelum bersara.
Jelas Iesa, beliau dan rakan-rakan lain banyak melakukan aktiviti penyamaran di dalam hutan untuk mengesan komunis.
Ujarnya, ada di antara rakannya yang tidak bernasib baik dan penyamaran itu dapat dikesan oleh komunis lantas terus dibunuh dan diterajang dengan ganas.
“Sudahlah ditembak hingga mati, komunis itu terajang pula mayatnya ke dalam lubang sebelum dikambus dengan tanah.
“Mereka tidak ada rasa kasihan dan sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai matlamat mereka,” jelasnya.












