KANGAR – Dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perlis meminta pihak yang bertelagah berhubung isu pelantikan Menteri Besar supaya mencapai resolusi terbaik menyelesaikan isu itu.
Bekas ADUN Santan, Datuk Sabry Ahmad berkata, pihak-pihak bertelagah perlu berbincang dan melantik pihak ketiga serta berkecuali bagi mencapai persetujuan terbaik.
“Semasa krisis 2008 dahulu, situasinya tidak sama kerana Menteri Besar Perlis pada masa itu belum dilantik (Datuk Seri Md. Isa Sabu).
“Kami melantik pihak berkecuali untuk menerima pandangan kedua-dua belah pihak sebelum penyelesaian dapat dicapai tanpa sebarang konflik yang serius,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Kosmo! melaporkan hari ini, Perlis berdepan dengan krisis perlembagaan apabila Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man yang baru mengangkat sumpah jawatan di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dipecat daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN) berkuat kuasa serta-merta.
Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri dan Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim menegaskan, Azlan dipecat kerana mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar tanpa mendapatkan sokongan majoriti ADUN yang lain sekali gus mengingkari arahan parti.
Azlan, 60, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar secara berseorangan tanpa kehadiran sembilan ADUN daripada BN. Bagaimanapun, dua ADUN Pas dan tiga ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR) menghadiri majlis tersebut.
Dalam perkembangan sama, bekas ADUN Sena, Datuk Abdul Jamil Saad berharap krisis itu dapat diselesaikan segera demi kebajikan rakyat Perlis. – K! ONLINE











