KUALA LUMPUR 25 Mei – Orang ramai mempertikaikan kewajaran Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keluarganya menaiki jet peribadi ketika berkunjung ke Kelantan tempoh hari.
Rata-rata merasakan perbuatan itu tidak sejajar dengan apa yang diperjuangkan oleh para pemimpin Pakatan Harapan sebelum ini, supaya tidak melakukan pembaziran wang rakyat.
Netizen turut memberi peringatan awal kepada para pemimpin berkenaan supaya tidak mengecewakan orang ramai yang memilih mereka menjadi kerajaan hari ini.
Sementara itu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menjelaskan, penggunaan jet peribadi oleh Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Wan Azizah Ismail adalah atas kapasiti memenuhi jemputan rasmi untuk bertemu dengan bonda Yang di-Pertuan Agong di Kelantan.
Beliau berkata, jemputan rasmi itu juga termasuk untuk mereka sekeluarga, justeru tidak sepatutnya dijadikan isu oleh mana-mana pihak sekali pun.
“Jemputan rasmi, yang juga menjemput @drwanazizah sekeluarga. Sikap pimpinan lama tidak akan berulang, menggunakan jet utk bercuti dan keperluan peribadi. Terima kasih atas ingatan, kita sudah tentu tidak boleh kompromi,” kata dalam Twitternya hari ini. – UTUSAN ONLINE











