IPOH 25 Mei – Kerajaan negeri akan menyeragamkan penggunaan kupon letak kereta di kesemua 15 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini bermula 1 Januari tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri, Yong Choo Kiong berkata, langkah tersebut akan memudahkan orang ramai dengan penetapan kadar bayaran yang sama.
“Perkara ini sudah lama dinanti-nantikan oleh rakyat kerana ramai pengguna dari luar, dari kawasan berlainan, mereka menghadapi kesukaran. Bukan sahaja tempat letak kereta yang terhad, mereka kena turun (daripada kenderaan) dan pergi beli kupon.
“Ini menimbulkan masalah besar kepada pengguna, jadi, kita membuat ketetapan di 15 buah PBT, masing-masing akan menggunakan kupon yang sama,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam perkembangan berlainan, Choo Kiong berkata, pihaknya juga telah membuat ketetapan bahawa setiap kaunter informasi di setiap PBT negeri ini mestilah menyediakan perkhidmatan yang memudahkan komunikasi untuk tiga bangsa iaitu Melayu, Cina dan India.
Menurut beliau, langkah tersebut bagi mengelak jurang antara PBT dengan rakyat, menghindar kekeliruan serta menyenangkan pentadbiran.
“Kalau orang Cina warga tua, India ke, mereka kurang fasih berbahasa Malaysia, jadi ini akan menyusahkan dan menyebabkan pihak majlis tidak dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik,” katanya. – UTUSAN ONLINE











