Perlu diadakan pilihan raya semula - Mufti Perlis - Utusan Malaysia

Perlu diadakan pilihan raya semula – Mufti Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR – Mufti Perlis, Datuk Dr. Asri Zainul Abidin berpendapat, Perlis perlu mengadakan pilihan raya semula susulan krisis pelantikan Menteri Besar baharu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Nampaknya, macam Perlis kena buat pilihan raya semula. Mungkin dengan cara itu semua akan puas hati.

“Boleh pilih wajah-wajah yang baharu dan bermutu tinggi dari semua pihak yang bertanding. Mana-mana jaguh yang ada kualiti tapi telah ‘terkalah’ di tempat lain, mungkin boleh datang bertanding di Perlis.

“Ada 15 kerusi untuk direbut. Maka, Perlis boleh dapat calon-calon terbaik. Selain itu, isu-isu 1MDB dan yang sewaktu dengannya, mungkin boleh menjadi panduan rakyat Perlis untuk membuat penilaian semula,” katanya dalam akaun Facebook rasmi beliau Dr. Maza.com hari ini.

Kosmo! hari ini melaporkan, Perlis berdepan dengan krisis perlembagaan apabila Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man yang baru mengangkat sumpah jawatan di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau dipecat daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN) berkuat kuasa serta-merta.

Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri dan Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim menegaskan, Azlan dipecat kerana mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar tanpa mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang lain sekali gus mengingkari arahan parti.
 
Azlan, 60, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar secara berseorangan tanpa kehadiran sembilan ADUN daripada BN. Bagaimanapun, dua ADUN Pas dan tiga ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR) menghadiri majlis tersebut.

Kosmo! pada 13 Mei lalu melaporkan Shahidan berkata, BN bersetuju menamakan ADUN Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim yang juga adik bongsunya sendiri sebagai calon Menteri Besar Perlis yang baharu.

Namun, Ismail semalam dilaporkan akur dengan titah Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan merayu untuk tidak melantik dirinya atau Datuk Seri Azlan Man sebagai Menteri Besar. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN