FBI, DOJ setuju kerjasama sempurnakan siasatan 1MDB - Utusan Malaysia

FBI, DOJ setuju kerjasama sempurnakan siasatan 1MDB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 24 Mei – Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) bersetuju untuk memberi kerjasama sepenuhnya bagi menyempurnakan siasatan yang dijalankan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Memuatkan artikel berkaitan…

Pasukan Petugas Khas 1MDB dalam satu kenyataan memberitahu, persetujuan itu dicapai selepas pertemuan dua hala dengan pegawai-pegawai FBI dan DoJ hari ini di Kompleks Pejabat Perdana Menteri.

“Perjumpaan bagi memberi bantuan akan dijalankan dari semasa ke semasa,” kata kenyataan tersebut yang dikeluarkan selepas pertemuan dua hala berkenaan, di sini hari ini.

Pertemuan yang dipengerusikan secara bersama oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull dan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Abdul Hamid Bador itu telah membincangkan tentang beberapa isu berkaitan.

Antaranya, adalah hala tuju serta fokus siasatan 1MDB, permohonan bantuan bersama bagi perkara jenayah melibatkan bantuan perundangan bersama (MLA) dan juga proses membawa semula aset-aset yang dibekukan di AS.

Jelas kenyataan itu, antara isu yang dibangkitkan adalah permohonan FBI menerusi sepucuk surat bertarikh 13 November 2016.

Menurutnya, surat itu telah dihantar kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Tan Sri Dzulkifli Ahmad tetapi tidak mendapat maklum balas sehingga hari ini.

Dalam pertemuan berkenaan jelas kenyataan itu, pihak DoJ juga mengesahkan ada membuat permohonan melalui MLA kepada Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali pada 22 September 2017.

Walau bagaimanapun tambahnya, permohonan itu tidak dipenuhi dan ditangguhkan atas alasan ia akan menggangu siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa di Malaysia justeru, tiada kerjasama diberikan sehingga hari ini.

“Pihak DoJ dan FBI telah merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih di atas kerjasama pihak Kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri Malaysia yang baharu setelah tiada apa-apa tindakan berkaitan 1MDB semasa kerajaan sebelum ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN