KUALA LUMPUR 24 Mei – Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), Arul Kanda Kandasamy merancang untuk mengambil tindakan perundangan terhadap Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang didakwa cuba menyerang peribadi serta berpotensi memfitnahnya berhubung-kait syarikat itu.
Katanya, pada waktu ini, beliau telah mendapatkan pandangan perundangan daripada peguamnya bagi membuat pilihan dalam menentukan tindakan seterusnya.
Katanya, pandangan perundangan itu akan dibuat atas kapasiti peribadi.
“Saya secara sesungguhnya menafikan serangan yang berpotensi memfitnah dan serangan peribadi terhadap saya oleh Menteri Kewangan. Dalam kapasiti peribadi serta bukan berkaitan dengan pekerjaan saya sebaliknya hanya berkaitan kenyataan Menteri Kewangan, saya telah mendapatkan nasihat perundangan daripada peguam saya untuk memberi nasihat mengenai pilihan saya.
“Pada masa yang sama, apa yang telah saya lalui pada masa lalu, saya komited untuk memberi kerjasama sepenuhnya berdasarkan pengetahuan saya yang terbaik, termasuk menyentuh apa-apa siasatan yang berterusan atau terbaru berkaitan 1MDB,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











