KUALA LUMPUR 24 Mei – Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) menyediakan 100 buah tong berkapasiti 25 liter untuk mengumpul minyak masak terpakai daripada peniaga di tiga tapak bazar Ramadan di sekitar ibu negara.
Bazar Ramadan berkenaan adalah bazar di Jalan Masjid India, Bangsar dan Bandar Sri Permaisuri, Cheras.
Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Datuk Mohd. Zain Hassan berkata, inisiatif anak syarikat Alam Flora, DRB-Hicom Environmental Services Sdn. Bhd. (DHES) itu dilaksanakan untuk memupuk masyarakat mengamalkan konsep 5R iaitu Refuse Reduce, Reuse, Recycle dan Recovery.
Beliau berkata, melalui program itu, Alam Flora akan membeli semula minyak terpakai daripada peniaga pada harga RM1.20 bagi setiap kilogram.
“Minyak masak terpakai itu janganlah dibuang ke dalam longkang yang akan menyebabkan perparitan tersumbat dan berbau busuk.
“Jangan sangka minyak masak terpakai tidak berguna, ia boleh ditukar menjadi pendapatan sampingan dan tidak sepatutnya dibuang begitu sahaja,” katanya kepada pemberita pada program agihan bubur lambuk kepada orang ramai di Jalan Bunus 6 di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio Ekonomi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Datuk Ibrahim Yusoff.
Terdahulu, Mohd. Zain dan Ibrahim mengagihkan sebanyak 1,500 pek berisi bubur lambuk kepada orang ramai di sekitar Jalan Masjid India dan Jalan Bunus.
Mohd. Zain berkata, minyak masak terpakai itu boleh ditukar menjadi biodiesel menerusi proses ‘tranesterifikasi’ yang boleh digunakan untuk kenderaan berat seperti bas dan traktor.
“Bahan kimia yang digunakan untuk menukar minyak masak terpakai kepada biodiesel adalah ‘methanol’, pemangkin (catalyst) dan minyak masak itu sendiri,” katanya.
Sementara itu, beliau memaklumkan, jumlah keseluruhan kutipan sisa pepejal di tiga kawasan konsesi iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pahang adalah sebanyak 17,000 metrik tan pada hari ketujuh Ramadan tahun ini, berbanding 19,000 metrik tan pada tahun lepas. – UTUSAN ONLINE











