SEREMBAN 23 Mei – Dua anggota Geng Mamak yang ditembak mati oleh polis di Rembau, dekat sini semalam, dipercayai terlibat dalam 45 kes samun yang mengakibatkan kerugian RM1 juta.
Kedua-dua suspek warga tempatan berusia 33 dan 35 tahun dengan alamat terakhir di Taping, Perak ditembak selepas mereka terlebih dahulu melepaskan tembakan ke arah anggota polis.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, kejadian berbalas tembakan antara suspek dan sekumpulan anggota polis berlangsung dalam tempoh kurang 10 minit.
Menurutnya, kedua-duanya suspek mati di tempat kejadian manakala anggota polis terlibat tidak mengalami kecederaan.
“Bagaimanapun, dua rakan subahat mereka yang berada di dalam kereta berjaya melarikan diri ke dalam belukar berhampiran,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Noor Azam memaklumkan, kejadian bermula apabila pasukannya yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah di Jalan Seremban-Tampin terserempak dengan sebuah kereta Honda Accord dinaiki empat lelaki dalam keadaan mencurigakan.
Jelas beliau, polis cuba menahan kenderaan tersebut tetapi suspek memecut ke arah Jalan Chengkau-Pilin, Rembau dan selepas mengejar sejauh empat kilometer, kereta suspek dapat dipintas namun terbabas merempuh papan tanda jalan.
“Seorang suspek keluar dari kenderaan dan melepaskan tiga das tembakan manakala rakannya cuba menyerang anggota polis menggunakan senjata tajam. Bagi mempertahankan diri pasukan polis melepaskan empat das tembakan mengenai dada kedua-dua suspek,” katanya.
Kata Azam, polis merampas sepucuk pistol jenis Revolver .32 yang digunakan suspek manakala sepucuk pistol semi auto jenis Norinco 357 beserta lima butir peluru ditemukan di lantai kenderaan itu.
Tambahnya, pemeriksaan lanjut polis di dalam kereta suspek turut menemukan dua bilah parang sepanjang kira-kira 0.3 meter, sebilah kapak, topi dan vest berlogo Polis Diraja Malaysia dan lencana kastam yang dipercayai digunakan untuk menyamar.
“Berdasarkan maklumat diterima dan penemuan barang-barang kes, mereka disyaki saki-baki kumpulan Geng Mamak. Mereka disyaki terlibat dalam kejadian samun ke atas mangsa yang keluar dari bank di Lembah Klang dan Negeri Sembilan sejak 2015 hingga kini,” katanya.











